Bekas juara tinju WBO Cruiserweight dari Poland Krzysztof Glowacki akhirnya dikenakan hukuman penggantungan daripada menyertai sebarang jenis sukan bagi tempoh empat tahun selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang Anabollic Steroid oleh Agensi Anti Dadah UK (UKAD).
Glowaki, 37, merupakan juara tinju bagi kelas tersebut dengan memegang rekod 32 kemenangan daripada 36 pertarungan sepanjang keriernya.
Ujian doping tersebut telah dilakukan ke atasnya selepas beliau tewas dalam pertarungan menentang Richard Riakporhe yang berlangsung di Manchester, United Kingdom setahun lalu.
Sampel air kencing yang telah diambil mendapati ia mengandungi bahan terlarang jenis 'Beldenone' yang telah disenaraikan sebagai bahan terlarang di bawah seksyen S1 oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA).
Bagaimanapun keputusan tersebut dinafikan oleh Glowacki yang bertegas bahawa dia sama sekali tidak pernah menggunakan bahan itu.
Sebelum ini beliau digantung sementara penyertaan beliau dalam mana-mana pertandingan bermula April 2023 sementara menunggu kes beliau dibicarakan semula oleh Panel Bebas Agensi Anti Doping Kebangsaan pada 31 Oktober lalu.
Glowacki dilahirkan di Walcz, pertama kali memenangi gelaran kelas Cruiserweight WBO selepas menewaskan Marco Huck di New Jersey pada 2015.
Bagaimanapun gelaran itu gagal dipertahankan selepas beliau tewas di tangan Juara Heavyweight ketika ini Oleksandr Usyk pada 2016.