Perebutan kerusi Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) kian hangat melibatkan pertembungan dua nama besar kepimpinan sukan negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, tidak berselindung menyatakan sokongannya terhadap bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara, Shapawi, yang dianggap telah melahirkan ramai bakat negara sepanjang bersama badan induk itu.

Tambahnya, sepanjang 35 tahun bersama MSN, Shapawi telah menunjukkan visi dan dasar yang jelas untuk membawa MPM lebih ke depan menjelang Sukan Paralimpik Los Angeles 2028.

"Beliau telah membantu saya sewaktu dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menyediakan kontinjen negara bagi mencatatkan satu prestasi terbaik dalam sejarah sukan negara kita," katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.

"Ia terutama sewaktu pencapaian kita dalam Sukan Olimpik Rio pada 2016, di mana ia adalah pencapaian kita yang terbaik dalam sejarah sukan di Malaysia.

"Apabila seseorang itu ada visi, dia tidak akan mengharapkan kepada satu sukan sahaja kerana dia mahukan pingat emas dalam pelbagai sukan.

"Kerana apabila kita hanya tertumpu kepada satu sukan, contohnya olahraga, kita tidak tahu pada 2016 Latif (Romly), Ridzuan (Puzi) dan Ziyad (Zolkefli) boleh memenangi emas tetapi ia ada risiko kalau kita hanya tertumpu kepada itu.

"Saya nampak visinya untuk kita memperluaskan jenis sukan sesuatu yang berjaya kerana akhirnya, apabila satu sukan tidak berjaya sepenuhnya, di mana kita tidak dapat mengulangi pencapaian tiga pingat emas sukan olaharaga, emas itu datang daripada sumber yang lain," katanya.