Skip to main content

Sukan SEA

Kenapa buat kami macam ini?

adam-aris-kayak.jpg
Atlet kayak negara, Adam Aris, kecewa dengan tindakan Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin, yang menjadikan badan induk itu sebagai tempat permainan politik menjelang Sukan SEA Filipina 2019, November depan.

Adam, yang sedang menyertai Kejohanan Kanu dan Para Kanu Dunia di Hungary, terkejut apabila dimaklumkan kesemua rakan sepasukannya tidak tersenarai ke temasya dwitahunan itu. 

Ia secara tidak langsung memusnahkan usaha yang mereka bina sejak beberapa tahun lalu.

Adam, yang tersenarai sebagai wakil tunggal MASCA ke Filipina, tidak dapat membendung rasa kecewa dengan tindakan presiden MASCA itu. 

"Saya terkejut dan sedih atas apa yang berlaku. 

"Saya tertanya-tanya kenapa presiden buat macam ini? Seolah-olah apa yang dibuatnya ada misi tersendiri. Kami tidak tahu kenapa dia buat macam ini. 

"Dalam masa dan keadaan macam ini, dia boleh (pula) tolak penyertaan kami ke Sukan SEA," katanya. 

Tambahnya lagi: "Kami sebagai atlet sudah bersusah-payah untuk sampai ke tahap ini dan inilah sahaja peluang untuk kami melakukan sesuatu kepada negara. 

"Tetapi dia menjadikan tempat yang kami bersusah-payah ini macam tempat permainan dia sahaja. 

"Tiba-tiba (dia) mahu menjadi atlet pula, nak hantar datuk, nenek dan saudara-mara.

"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku," katanya. 

Persatuan itu menerusi surat yang ditandatangani Megat Shahriman, hanya menyenaraikan Adam dalam acara 1,000 meter K1.

Ia mengundang persoalan mengenai status atlet kanu dan perahu naga seramai hampir 40 orang.

Beberapa pegawai MASCA dan atlet negara sudah menghantar rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dengan keputusannya dijangka diketahui minggu ini.

Advertisement

Must Watch Video