Skip to main content

Sukan Lain

Kemelut MPM: WTM sambut baik pendirian menteri

wtm.jpg
Presiden Persatuan Tenis Kerusi Roda Malaysia (WTM), Iqbal Sulaiman, menyambut baik pendirian Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman, menyerahkan sepenuhnya kepada ahli majlis, Majlis Olimpik Malaysia (MPM) untuk menyelesaikan kemelut dalaman badan induk sukan para negara itu.

Ahli majlis MPM merancang untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bulan depan.

Ia bergantung kepada keputusan majoriti ahli gabungan badan induk itu dalam menyelesaikan isu dalaman mereka secara demokrasi.

Tindakan itu selari dengan pendirian Syed Saddiq, yang enggan campur tangan selepas mahkamah menolak permohonan injunksi melarang MPM daripada mengadakan EGM.

"Saya rasa kesan daripada keputusan menteri itu amat bagus sebab ia mencerminkan bahawa menteri bersikap terbuka.

"Beliau membenarkan MPM untuk membuat keputusan dan menentukan hala tuju sendiri.

"Buat masa ini, sudah ada 11 (ahli majlis) yang bersetuju untuk mengadakan EGM.

"Kami akan cuba mendapatkan satu atau dua lagi (undian).

"Selepas keputusan dan kenyataan menteri, saya harap ahli-ahli lain turut bersetuju untuk bersama kami menentukan hala tuju MPM," katanya.

Isu tersebut timbul apabila lima individu, termasuk bekas menteri belia dan sukan, Khairy Jamaluddin, didakwa lewat menghantar borang pencalonan menjelang mesyuarat agung tahunan badan induk itu.

Kemelut itu memaksa Persatuan Boling Padang Orang Kurang Upaya Malaysia menarik semula pencalonan Siti Zaharah Abdul Khalid, sementara Dr S. Radha Krishnan masih layak bertanding jawatan timbalan presiden kerana mempunyai dua pencalonan.

Advertisement

Must Watch Video