Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Dunia Para Powerlifting: Bonnie raih emas kedua

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bonnie.jpg
Atlet para kebangsaan, Bonnie Bunyau Gustin, terus mengejutkan lawannya yang lebih senior apabila meraih pingat emas kedua dalam acara 65 kg (ke atas) lelaki dalam Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Nur-Sultan, Kazakhstan semalam.

Atlet berusia 19 tahun dari Sarawak itu -- yang menggondol pingat emas pertama dalam acara bawah 65 kg lelaki beberapa hari lalu -- memulakan aksi dengan melakukan angkatan seberat 185 kg, diikuti 197 kg dan 207 kg dalam cubaan kedua dan percubaan untuk merangkul gelaran senior sulungnya dalam kejohanan yang diadakan di Astana Congress Center.

Kemenangan itu juga menyaksikan Bonnie menempah tiket ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

“Saya sangat gembira. Saya tidak menjangka akan memenangi pingat emas di sini dengan pesaing yang  kuat dalam kategori saya.

"Tetapi saya percaya, dengan usaha keras dan disipilin semasa latihan, ini adalah kemenangan terbesar saya,” katanya dalam laman web Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

Hocine Bettir dari Algeria dan atlet angkat berat dari Iran, Amir Jafari Arangeh, menamatkan saingan dengan masing-masing meraih perak dan gangsa selepas melakukan angkatan seberat 194 kg dan 193 kg.

Pemenang emas Paralimpik tiga kali, Liu Lei dari China, mendapat tempat keempat selepas membuat satu angkatan 190 kg manakala juara bertahan Paralimpik, Paul Kehinde, yang juga pemegang rekod dunia acara itu gagal menamatkan kedudukan podium selepas tiga angkatannya batal.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video