Skip to main content

Sukan Lain

Kejohanan Berbasikal Trek Dunia: Azizulhasni tanggung kesakitan dalam acara pecut

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

azizulhasni.jpg
Pelumba trek negara, Azizulhasni Awang, sanggup mengambil risiko menyertai acara pecut Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Pruszkow, Poland, meskipun mengalami luka dan kaki terseliuh ekoran kemalangan yang menyaksikannya meraih tangga ketujuh acara keirin, awal pagi tadi. 

Kegagalan barisan pelumba trek negara yang diketuai Azizulhasni untuk meraih pingat dalam dua acara Kejohanan Dunia mengundang kebimbangan.

Dia ditimpa kemalangan dalam pusingan pertama acara keirin.

Namun, The Pocket Rocketman tetap meneruskan cabaran dalam acara kegemarannya itu demi mengumpul mata untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Pelumba berusia 31 tahun berkenaan, bagaimanapun, terkandas dalam separuh akhir sebelum muncul terpantas aksi penentuan tempat ketujuh hingga 12.

"Kemalangan ini mengakibatkan saya mengalami luka dan kesan impak, terutama di bahagian kiri badan. 

"Terdapat juga kesan impak di bahagian kepala yang menyebabkan saya berasa pening dan sakit. 

"Demi misi menambah mata sebanyak mungkin untuk kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, saya ketepikan rasa sakit dan teruskan berjuang. 

"Bagaimanapun, kemalangan itu sedikit-sebanyak menjejaskan kayuhan saya kerana ia menyebabkan saya sukar untuk bernafas sebelum dan selepas perlumbaan," kata atlet kelahiran Terengganu itu. 

Rakan senegara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, pula gagal melepasi repecharge pusingan pertama.

Bagaimanapun, Malaysia berada di landasan tepat untuk mempunyai wakil dalam keirin Sukan Olimpik Tokyo apabila menghuni ranking keempat kelayakan temasya.

Cuma peluang dalam acara pecut berpasukan kian sukar berikutan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Mohd Fadhil Zonis meraih tangga ke-15 Kejohanan Dunia dengan catatan 45.099 saat, jauh daripada rekod kebangsaan milik mereka.

Advertisement

Must Watch Video