Skip to main content

Sukan Lain

Kecederaan lutut masih hantui Latif

latiff-romly.jpg
Atlet lompat jauh para negara, Abdul Latif Romly, terus kempunan untuk menyertai sebarang kejohanan dalam masa terdekat kerana masih dibelenggu kecederaan lutut kanan.

Latif mungkin terpaksa melupakan penyertaannya dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Kebangsaan bulan depan ekoran kecederaan yang masih belum pulih itu.

Sebelum ini, Latif terpaksa melupakan hasratnya untuk menyertai Kejohanan Perak All-Comers ekoran masalah sama.

Juara Sukan Paralimpik Rio 2016 itu mahu menumpukan kepada proses pemulihan sebelum menghadapi Sukan SEA Filipina dan Kejohanan Olahraga Dunia, November depan.
  
Sebagai rekod, Latif pernah beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di mana dia menamatkan saingan di tangga ketujuh keseluruhan.

"Saya mahu menyertai kejohanan untuk mencari teknik terbaik, namun kecederaan saya masih belum pulih.

"Keputusan akan dikeluarkan doktor dalam tempoh dua minggu lagi dan jika keadaan mengizinkan, jurulatih saya akan mengkaji kejohanan yang boleh saya sertai selepas ini," katanya.

Sementara itu, jurulatih lompat jauh negara, Mohd Syahrul Amri Suhaimi, menganggap anak buahnya itu belum bersedia untuk menghadapi Sukan SEA Filipina dan perlu memperkuatkan aspek fizikal dan mental.

"Setakat ini, saya hanya menumpukan kepada perkembangan fizikalnya, termasuk kepantasan dan kekuatan.

"Apa yang boleh saya katakan adalah dia masih belum bersedia untuk menyertai mana-mana kejohanan," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video