Skip to main content

Gusti

Jinder semakin mahal di SmackDown

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

don-thinderthejinder_2.jpg
Sesuai dengan slogan ‘ruang untuk merebut peluang’, jenama SmackDown Live terus mencipta kejutan apabila muka baharu terus diberi kesempatan untuk menyinar.
 
Terbaharu, Jinder Mahal yang baru sahaja dipindahkan ke jenama tersebut dua minggu lalu, mengejutkan banyak pihak apabila muncul sebagai pemenang dalam perlawanan enam penjuru bagi merebut hak sebagai pencabar utama Kejuaraan WWE yang kini disandang Randy Orton.

Dengan dibantu pasangan The Bollywood Boyz, Jinder, 30, mengecewakan lima lagi pencabar lain iaitu Dolph Ziggler, Erick Rowan, Luke Harper, Sami Zayn dan Mojo Rawley. Kemenangan ini sekaligus akan mempertemukan Jinder dengan Randy Orton bagi Kejuaraan WWE di acara Backlash bulan hadapan.

https://twitter.com/WWE/status/854494345419923456

https://twitter.com/WWE/status/854495207097745408

Mengulas tentang kemenangan ini, Jinder atau nama sebenarnya Yuvraj Singh "Raj" Dhesi optimis yang dirinya mampu menewaskan Orton dan bergelar Juara WWE baharu kerana berusia lebih muda, pantas dan fizikal yang lebih mengagumkan berbanding Orton.

{^widget|(videourl)https%3a%2f%2fwww.youtube.com%2fembed%2fMZvlEU9qzvo|(name)YouTubeVideo|(autoplay)False|(widget_displayname)YouTube+video|(width)600|(height)400^}

Jinder yang berdarah Punjabi Sikh dilaporkan telah memberi sepenuh komitmen dan kerja keras sejak kembali ke WWE susulan Draf WWE tahun lalu. Bukan sahaja tampil dengan etika kerja yang baik, malah perubahan mendadak fizikal tubuhnya yang kini lebih berketak-ketak dengan urat-urat yang timbul berselirat, menambah rasa kagum para pegawai WWE.

Walaupun hanya berperanan sebagai penggusti ‘nasi tambah’ sejak menyertai WWE pada 2011, namun ia nyata bukan batu penghalang buat penggusti kelahiran India-Kanada ini untuk terus tersekat di kedudukan tersebut. Jinder ingin membuktikan yang perbezaan warna kulit, bangsa dan ras bukanlah faktor penentu kejayaan. Dengan usaha gigih dan komitmen yang berterusan, pasti ramai pihak akan mula membuka mata dan menempatkan dirinya di tempat yang selayaknya.

Namun terdapat juga pihak berpendapat yang lonjakan Jinder ini ada kena mengena dengan perlantikan Sheetesh Srivastava selaku Naib Presiden dan Pengurus Am untuk WWE India baru-baru ini. Selaku individu bertanggungjawab, Sheetesh berperanan untuk merangka strategi harian WWE di India, mencari rakan kongsi perniagaan termasuk perjanjian televisyen, acara siaran langsung, pemasaran, penajaan, perlesenan dan penjualan barangan syarikat tersebut.



Dengan 18 tahun pengalaman dalam bidang pertumbuhan domestik dan antarabangsa, Sheetesh pastinya akan meneraju WWE untuk mendominasi pasaran India yang kini menjadi antara negara yang mempunyai jumlah pengikut WWE paling ramai. Di mana komposisi peminat WWE dari India menyumbang jumlah paling tinggi daripada keseluruhan 750 juta pengikut WWE di laman sosial.

Meletakkan Jinder sebagai bintang berkelas utama yang secara tidak langsung mewakili India pastinya akan memacu usaha ke arah penambahan peminat sedia ada kepada jumlah yang lebih tinggi. Penjualan barangan atau aksesori Jinder di WWE Shop pastinya akan meroket dan mendapat permintaan tinggi daripada negara itu.

Apapun, penulis percaya ia hanyalah faktor sokongan. Keupayaan Jinder yang telah mempamerkan potensi sebenarnya sebagai jaguh berhaluan kiri melayakkan beliau untuk memperoleh peluang ini.
Walaupun kebarangkalian untuk beliau menewaskan Orton agak dilihat tipis, namun tiada apa yang mustahil dan boleh menjadi kenyataan pada bila-bila masa.

Penampilan muka-muka baharu seperti inilah yang akan menarik lebih ramai peminat dan menyajikan jalan cerita yang lebih segar. Oleh yang demikian, tidaklah hanya nama dan muka yang sama sahaja dijadikan modal untuk berebut kejuaraan. Padahal, masih ramai lagi bintang lain yang berbakat dan tidak kurang hebatnya.

Terkini, Baron Corbin juga dilapor bakal mengikut jejak Jinder dan bakal diangkat menjadi bintang utama sedikit masa lagi.

Untuk rekod, The Great Khali yang juga berbangsa Punjabi pernah bergelar Juara Heavyweight Dunia WWE sebelum ini. Juga tidak ketinggalan, Tiger Ali Singh dan Tiger Jeet Singh juga pernah menggegar arena WWE. Justeru, usah terkesima sekiranya nama Jinder Mahal tersenarai antara mereka yang pernah bergelar Juara WWE tidak lama lagi.

Langgani satu-satunya saluran gusti 24 jam di Malaysia, WWE Network dan saksikan semua acara pay per view setiap bulan eksklusif secara langsung yang turut boleh diikuti di Astro Go.

Hafiz Azwany Taher merupakan pengasas kepada kelab komuniti Peminat Gusti Malaysia yang kini telah menghimpunkan lebih 19,000 peminat gusti di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2010, komuniti ini kini merupakan platform utama para peminat gusti di Malaysia untuk berkongsi minat yang mendalam terhadap sukan gusti profesional.

Advertisement

Must Watch Video