HOKI
Jangan lena dengan kemenangan besar ke atas New Zealand -- Van Huizen
"New Zealand bukan berada pada tahap sebenar," itu peringatan jurulatih skuad hoki negara, Stephen van Huizen, terhadap anak buahnya yang tidak boleh berasa selesa meskipun menang besar 8-2 dalam aksi persahabatan menentang New Zealand di Stadium Hoki Tun Razak, semalam.
New Zealand dan skuad negara akan bertemu sekali lagi dalam aksi kedua hari ini sebagai persiapan terakhir sebelum ke Piala Sultan Azlan Shah, 27 April hingga 6 Mei ini.
Van Huizen berkata, tidak mustahil New Zealand akan tampil dengan aksi lebih garang dan menyifatkan lawan itu tidak beraksi pada tahap sebenar kerana menempuh tempoh penerbangan yang panjang untuk tiba di Malaysia.
Iklan
"Saya fikir, mereka hanya tiba selepas penerbangan jauh dari New Zealand dan ia bukanlah persembahan terbaik mereka.
"Kami melakukan jaringan dalam perlawanan ini tetapi secara keseluruhannya kami perlu memperbaikinya. Kami gembira dengan kemenangan dalam ujian pertama ini dan ia memberikan keyakinan kepada skuad," katanya.
Van Huizen akan menyenaraikan 18 pemain terbaik untuk beraksi dalam Piala Sultan Azlan Shah selepas menilai aksi persahabatan terakhir berdepan lawan sama, jam 6 petang ini.
"Perlawanan ini adalah mengenai kombinasi pemain, dan esok (hari ini) kombinasi berbeza. Seperti saya katakan, pemilihan skuad bukan hanya berdasarkan perlawanan ini.
"Ia juga berdasarkan kepada prestasi ketika latihan, kecergasaan, disiplin dan segala-galanya perlu ditimbangkan. Tetapi kami perlu memberikan semua pemain peluang bermain," tambahnya.
Must-Watch Video