SUKAN LAIN
ISG: Masalah teknikal ragut peluang Haiqal ke final
Dua bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan dan Muhammad Haiqal Hanafi, berasakan kempen Sukan Solidariti Islam (ISG) mereka bagaikan dirompak selepas 'diganggu' masalah teknikal melibatkan blok perlepasan sehingga meragut slot di pentas akhir acara tumpuan itu.
Dalam sesi separuh akhir melibatkan kedua dua pelari negara itu, masalah teknikal menyaksikan pelari dari negara lain melakukan false start dua kali namun tidak dikeluarkan dari saingan disebabkan kesalahan teknikal pihak penganjur -- namun perkara yang dikesali, pada ketika saingan sudah memasuki 50 meter, Haiqal berada di posisi terbaik untuk melangkah ke final.
Pasca kegagalan Haiqal melangkah ke pentas akhir, ianya membuka 1001 ruang pembelajaran khususnya melibatkan aspek mental dan emosi.
Iklan
Dalam ketika Haiqal masih mencari ramuan terbaik untuk kembali disegani di trek balapan, pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 itu berasakan gandingannya bersama Md Poad Kassim di Bukit Jalil mampu menghasilkan impak positif.
"Walaupun ia bukan catatan rasmi, saya sangat gembira kerana berjaya merekodkan 10.12 saat, ia bukan satu usaha yang mudah untuk melakukan catatan itu," kata Haiqal.
"Sejujurnya, saya yakin dengan kehadiran jurulatih Poad Kassim ke Bukit Jalil mampu membantu saya untuk mendapatkan semula rentak terbaik dalam usaha untuk melakukan larian yang lebih baik."
Sementara itu, seorang lagi bekas jaguh Asia Tenggara, The Speedy Jantan 'rai' kegagalan di bumi Turkiye dengan alasan tersendiri.
Ini kerana Khairul Hafiz mencatatkan masa terbaiknya musim ini sekaligus memenangi pertarungan kecederaan hamstring selama empat tahun.
"Saya amat bersyukur dengan persembahan ini dengan catatan masa 10.36 saat. Saya sangat gembira selepas banyak terlepas kejohanan ekoran kecederaan. Saya mula mendapatkan momentum dalam larian saya dan ini merupakan dua bulan penuh saya menjalani latihan serta pertandingan tanpa sebarang kecederaan," kata Khairul Hafiz.
Sementara itu, kem olahraga negara terlepas sasaran pingat berdasarkan pencapaian terbaik musim ini susulan prestasi hambar yang dipamerkan atlet lempar cakera, Queenie Ting Kung Ni.
Atlet berusia 24 dari Sarawak itu gagal beraksi baik di bawah tekanan malah terlepas pingat gangsa selepas hanya melakukan lemparan sejauh 48.72 meter.
Jika Queenie menghampiri catatan rekod kebangsaan yang dilakukannya di Sukan SEA Hanoi yang lalu, kedudukan podium dalam genggaman.
Must-Watch Video