Skip to main content

Sukan Lain

G. Saravanan tetap berjuang walau penyakit tiada penawar

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

g-saravanan_1.jpg
Pemenang pingat emas acara 50km jalan kaki Sukan Komanwel 1998, G. Saravanan, tetap mahu berjuang melawan penyakitnya meskipun pakar perubatan berkata usianya hanya akan bertahan dua hingga lima tahun lagi.

Saravanan, 55, kini sedang menerima rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) selepas menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND), penyakit sama seperti yang dihidapi legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (Supermokh).

MND merupakan penyakit yang menyebabkan kelemahan otot dan akan menjadi lebih teruk selama beberapa bulan atau tahun. Ia biasanya memendekkan hayat dan buat ketika ini, ia tiada penawar tetapi rawatan di hospital boleh membantu menguruskan gejalanya.

Bercakap sebagai tetamu jemputan dalam Nadi Weekend sebentar tadi, Saravanan berkata dia akan terus berjuang untuk meneruskan proses rawatannya biarpun menyedari kesulitan yang sedang dialaminya.

"Sebenarnya saya sukar untuk bercakap tetapi saya masih berjuang walaupun mereka menyebut saya hanya akan hidup untuk dua hingga lima tahun lagi.

"Saya katakan kepada doktor bahawa saya akan terus berjuang walaupun penyakit ini tiada ubat.

"Saya berfikir secara positif bahawa saya mampu untuk lawan penyakit ini.

"Saya benar-benar berterima kasih kepada semua orang, di mana YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) banyak membantu. Ada juga pihak-pihak tertentu yang tampil membantu saya.

"Dengan bantuan ini, saya mampu berjuang," katanya.

Saravanan mencuri hati rakyat Malaysia apabila dia melupakan kesakitan kekejangan otot kaki untuk meneruskan saingan sehingga ke garisan penamat selaku pemenang emas dalam Sukan Komanwel di Kuala Lumpur pada 1998.

Ia merupakan pingat emas ke-10 kontinjen negara dalam temasya itu, di mana Malaysia menamatkan saingan selaku kontinjen keempat terbaik keseluruhan.

 

Advertisement

Must Watch Video