Bekas jaguh terjun negara, Farah Begum Abdullah, sudah menjangkakan kegagalan wakil negara untuk merebut slot Sukan Olimpik menerusi Kejohanan Akuatik Dunia di Doha.

Datuk Pandalela Rinong, Nur Dhabitah Sabri dan Ng Yan Yee terlepas peluang mencuri slot separuh akhir dalam kategori masing masing.

"Saya tidak begitu kecewa sebab Nur Dhabitah dan Pandelela sering dibelenggu kecederaan.

"Saya sudah menjangkakannya dari awal lagi," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.

Ia membawa maksud buat pertama kalinya tiada penyertaan penerjun wanita negara di pentas Olimpik sejak 2008.

Lantas, perlu ada perubahan drastik daripada segi sistem jika sukan terjun negara tidak mahu terus merudum.

"Kita perlu kaji semula sistem kerana berdasarkan Nur Dhabitah yang berusia 24 tahun, ada juga peserta negara lain yang sebayanya tetapi kian menunjukkan peningkatan.





"Kita perlu tengok semula dan sistem dan program sebelum lihat proses dan sejauh mana kemajuannya," katanya lagi.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, memberi jaminan isu tersebut akan dijelaskan dalam mesyuarat bagi membincangkan agenda Road to Gold (RTG) dalam masa terdekat.

Hannah ditemui pada sesi perbincangan meja bulat berkaitan pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas bertempat di Menara KBS, Putrajaya hari ini.

"Saya perlu berbincang dengan Datuk Stuart (Ramalingam) dan akan berikan kemas kininya," katanya.