SUKAN LAIN
Faiz harap pemain cetus impak di China
Penolong ketua jurulatih skuad wanita negara, Mohammad Faiz Samsukhidir, mahu anak buahnya mengekalkan prestasi memuaskan bagi menjamin slot dalam Kejohanan Ragbi Asia Siri Tujuh Sepasukan, musim depan.
Misi mengekalkan penglibatan Malaysia dalam kejohanan itu terlebih dahulu memerlukan skuad kebangsaan untuk menewaskan Singapura sekurang-kurangnya dalam dua daripada tiga siri yang dianjurkan.
Ia berdasarkan pencapaian pasukan skuad negara jiran itu yang berjaya mengekalkan kedudukan ketujuh sejak dua tahun lalu.
Iklan
Berdasarkan pencapaian dalam siri pertama di Incheon, Korea Selatan, skuad kendalian Faiz itu mempamerkan kecemerlangan selepas menumpaskan Singapura 7-0.
"Sebenarnya, banyak kekurangan pasukan ini jika dibandingkan dengan pencabar lain daripada segi kepantasan dan kecergasan. Siri Asia memang tahap tertinggi tetapi saya mengharapkan pemain mampu memberi impak di China nanti selepas meraih pengalaman di Korea Selatan," katanya.
Tugas sukar menanti mereka di Huizhou, China dengan Malaysia diundi dalam Kumpulan D dan bersaing dengan tuan rumah, Hong Kong, serta Sri Lanka bermula hujung minggu ini.
Bagaimanapun, Faiz menganggapnya sebgaai medan terbaik buat pasukan kebangsaan melakukan persiapan menuju ke Sukan SEA Filipina yang berbaki kurang tiga bulan lagi.
"Saya harap mereka mampu tingkatkan prestasi. Kami mahu kekalkan kedudukan dalam saingan ini bagi musim depan, jadi yang pertama perlu tundukkan Singapura. Kalau boleh, cuba lakar kejutan ke atas Sri Lanka."
Must-Watch Video