Skip to main content

Sukan Lain

Dhabitah bakal bergandingan dengan Pandelela

dhabitah17417.jpg
Penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri, dipilih bergandingan dengan Pandelela Rinong menyertai Siri Terjun Dunia yang terakhir di Windsor, Kanada bermula Jumaat ini selepas Cheong Jun Hoong gagal pulih daripada kecederaan pinggang.

Skuad terjun negara menerima tamparan apabila Jun Hoong dan Wendy Ng Yan Yee mengalami kecederaan pinggang.

Ia menyaksikan kedua-duanya yang layak secara merit, terpaksa diketepikan daripada siri dunia terakhir di Windsor.

Justeru, Dhabitah dipilih sebagai pengganti memandangkan dia pernah membuat penampilan dalam kejohanan itu sebagai penerjun 'wildcard' di Kazan, Russia, awal bulan ini.

"Ia akan menjadi cabaran buat saya kerana bergandingan dengan atlet yang pernah memenangi pingat di Sukan Olimpik. Sedikit-sebanyak ia akan memberikan tekanan kepada saya untuk memberikan yang terbaik," kata Dhabitah.

Dhabitah akan bergandingan dengan Pandelela dalam acara 10m platform terjun seirama dan 3m individu papan anjal.

Penampilan sulung mereka di Kazan menyaksikan Malaysia meraih tangga keempat dalam 10m platform terjun seirama.

Skuad terjun negara akan berlepas ke Windsor esok.

"Selama dua minggu ini, terdapat pertukaran di dalam sesi latihan kerana kami bertukar pasangan dan saya berharap dapat memberikan yang terbaik," kata Pandelela.

Advertisement

Must Watch Video