"Kalau tidak ada pelekat OK, secara asasnya sesebuah jentera itu tidak boleh keluar berlumba."

Ciri-ciri keselamatan adalah aspek asas yang ditekankan oleh penganjur Kejuaraan Cub Prix Petronas 2024 dan Pengarah Teknikal Petronas MAM Malaysia, Simon Yap, merupakan individu yang dipertanggungjawabkan untuk memikul amanah berkenaan agar kemalangan boleh dielakkan.

"Setiap motosikal perlu mematuhi spesifikasi tertentu yang berlainan dengan yang digunakan di jalanan.

"Pemeriksaan teknikal yang perlu memenuhi senarai perkara yang perlu ditekankan.




"Ia akan diperiksa satu persatu dan selepas lulus, barulah mereka akan diberikan pelekat OK.

"Pakaian perlumbaan termasuk topi kaledar dan sarung juga perlu diperiksa supaya tidak pecah, tidak koyak.

"Kalau terdapat kesan impak di topi kaledar selepas terjatuh, kami tidak akan benarkan.

"Selepas perlumbaan pula, motosikal akan diimpaun selama 30 minit," katanya di Nadi Weekend sebentar tadi.