Skip to main content

Permotoran

Christian Horner dipecat selepas 20 tahun, era baru Red Bull bermula

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

f1.jpg
Arena Formula Satu (F1) dikejutkan dengan pemecatan Christian Horner sebagai Prinsipal pasukan Red Bull selepas lebih dua dekad menerajui pasukan gergasi itu. 

Keputusan drastik ini diumumkan ketika prestasi Red Bull berada dalam kemerosotan, sekali gus menandakan berakhirnya era kepimpinan yang sinonim dengan kejayaan luar biasa.

Horner, 51, telah mengemudi Red Bull Racing sejak musim debut mereka pada tahun 2005. Di bawah bimbingannya, pasukan itu menjulang enam kejuaraan konstruktor dan lapan kejuaraan dunia pemandu, termasuk era emas Max Verstappen yang meraih empat gelaran berturut-turut antara 2021 hingga 2024. 

Kejayaan itu menobatkan Horner sebagai salah satu prinsipal paling berjaya dalam sejarah F1 moden.

Pemecatan Horner berlaku di tengah-tengah konflik dalaman yang berpanjangan serta prestasi hambar Red Bull musim ini. 

Setelah mendominasi selama beberapa musim, pasukan itu kini sekadar di tempat keempat dalam carta konstruktor, 288 mata di belakang pendahulu, McLaren, yang kembali menyerlah buat kali pertama sejak 1998.

 

Red Bull setakat ini hanya memenangi dua perlumbaan sepanjang musim 2025, sementara pesaing seperti McLaren, Ferrari dan Mercedes terus mengutip mata berharga di setiap pusingan.

Keputusan menggugurkan Horner juga dikaitkan dengan reputasi yang semakin tercalar susulan tuduhan gangguan seksual serta dakwaan memanipulasi terhadap seorang pekerja wanita, yang timbul pada awal 2024. 

Walaupun siasatan dalaman dan undang-undang dua kali menggugurkan tuduhan tersebut, imej Red Bull sebagai organisasi elit tetap tercalar dalam kalangan media dan penaja.

Sebagai langkah pemulihan, Red Bull kini telah melantik Laurent Mekies sebagai Prinsipal Pasukan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Red Bull Racing. Mekies sebelum ini berpengalaman luas bersama Ferrari dan FIA.

Sementara itu, Alan Permane, bekas pengarah sukan Alpine, akan mengetuai pasukan adik Red Bull, Racing Bulls, sebagai ketua teknikal utama.

Advertisement

Must Watch Video