Skip to main content

Sukan Asia

Boling padang: Trio wanita mara ke suku akhir

lawnball10418.jpg
Trio boling padang wanita negara memperagakan aksi meyakinkan untuk memburu kilauan pingat pertama di Kelab Bowls Broadbeach apabila layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan C selepas menundukkan Scotland 17-10 dalam Sukan Komanwel Gold Coast, hari ini.

Trio dianggotai Azlina Arshad, Auni Fathiah Kamis dan Nur Fidrah Noh itu sebelum ini mengesahkan slot lebih awal apabila menewaskan Kepulauan Cook dan Kepulauan Norfolk.

Berdepan Scotland yang juga antara kuasa tradisi sukan ini, momentum mereka sukar disekat apabila mendahului selesa 14-3 di end ke-11.

Cemas seketika apabila Scotland bangkit mengejar kepada 14-10 pada end ke-15, mereka berjaya menamatkan tiga end terakhir untuk menang 17-10.

"Hari ini, kami bertiga bermain dengan baik. Jadi, dengan siapa kami bertemu dalam suku akhir, kami akan buat sehabis baik.

"Permainan kami meningkat dan tiada rasa lemah. Kami sentiasa bersemangat," kata Auni.

Dalam acara perseorangan lelaki, Muhd Soufi Rosli hampir mengejutkan juara bertahan, Darren Burnett, juga dari Scotland, namun kecundang tipis 19-21.

Kekalahan itu tidak menghalang Soufi layak ke suku akhir kerana telah menang empat perlawanan sebelum ini untuk muncul selaku naib juara Kumpulan C.

"Dalam suku akhir nanti, kalau saya bermain seperti tadi, insya-Allah ada rezeki," kata Soufi.

Advertisement

Must Watch Video