Skip to main content

Olimpik

Bekas pemain badminton nombor 1 dunia sasar Aaron/Wooi Yik menang emas Olimpik

marcus-gideon-aaron-wooi-yik.jpg
Bekas pemain badminton nombor 1 dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon lebih cenderung memilih pasangan beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia/Soh Wooi Yik untuk menjuarai kategori tersebut di Sukan Olimpik Paris 2024.

Marcus yang sebelum ni beraksi bersama Kevin Sanjaya Sukamuljo pernah menjadi pasangan beregu lelaki terbaik dunia, menyuarakan pendapat beliau apabila ditanya mengenai pemain pilihan beliau menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.

Marcus turut memberitahu bahawa pasangan yang tidak tersenarai sebagai pilihan dalam kejohanan tersebut (Aaron-Wooi Yik) dilihat menjadi satu kelebihan kerana tiada tekanan besar yang dihadapi berbanding pemain-pemain pilihan yang lain. Hal ini menjadikan mereka lebih fokus dan berpeluang untuk menjuarai kategori beregu lelaki di temasya tersebut.

"Sebagai pemain no. 1 dunia, harapan semua orang adalah untuk menjadi juara, harus. Sebelum kita bertanding di Olimpik, semua orang mengharapkan kita menang. Jadi kita akan menjadi lebih tertekan kerana berasa gemuruh." ujar Marcus.

"Bagi mereka (Aaron/Wooi Yik), mereka bukan pasangan pilihan dalam Olimpik kali ini, jadi beban dan tekanan tidak terlalu besar." tambahnya lagi.

Marcus juga berpandangan kelebihan itu akan membantu Aaron Chia/Soh Wooi Yik untuk beraksi lebih baik lebih-lebih lagi potensi dan keupayaan mereka tidak perlu disangkal lagi dalam mencabar kejuaraan tersebut.

Marcus Gideon/Kevin Sanjaya menjadi mangsa kebangkitan Aaron/Wooi Yik dalam aksi Sukan Olimpik Tokyo 2020 di peringkat suku akhir di mana menyaksikan pasangan Malaysia itu melengkapkan perjalanan gemilang dengan menghadiahkan pingat gangsa buat negara.

Advertisement

Must Watch Video