Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, secara rasmi bersetuju untuk menamatkan kerjasama mereka berkuat kuasa 30 Jun 2026.
Keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara kedua-dua pihak yang berpandangan langkah tersebut adalah pilihan terbaik buat pemain berusia 26 tahun itu dalam merancang hala tuju baharu karier profesionalnya.
Sepanjang bersama skuad kebangsaan, Tze Yong mencipta beberapa kejayaan membanggakan termasuk meraih pingat perak perseorangan lelaki dan pingat emas acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2022, membantu Malaysia menjuarai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 serta menyumbang pingat gangsa dalam saingan Piala Sudirman 2021 dan 2023.
Prestasinya turut melonjak apabila mencapai ranking tertinggi kerjaya di kedudukan ke-14 dunia pada November 2023.
Namun perjalanan kariernya terganggu akibat beberapa kecederaan serius sejak dua tahun lalu. Kecederaan belakang yang dialami pada 2024 diikuti kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) pada 2025 memaksanya menjalani pembedahan serta proses pemulihan yang panjang.
Presiden BAM, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz menyifatkan Tze Yong sebagai antara tonggak penting skuad negara sepanjang tempohnya bersama badan induk itu.
“Tze Yong merupakan anggota penting pasukan kebangsaan dan telah mewakili Malaysia dengan penuh kebanggaan di pentas antarabangsa.
Walaupun kecederaan menjejaskan perkembangannya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ketabahannya sepanjang proses pemulihan amat mengagumkan.
Selepas perbincangan mendalam, kedua-dua pihak bersetuju bahawa ini adalah laluan terbaik buat dirinya pada tahap karier ketika ini.
Bagi pihak BAM, saya ingin mengucapkan terima kasih atas segala sumbangannya kepada badminton Malaysia dan mendoakan kesihatan serta kejayaan berterusan buat beliau pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Tze Yong turut merakamkan penghargaan kepada BAM, barisan jurulatih, kakitangan sokongan dan rakan sepasukan yang banyak membantunya sepanjang bergelar pemain kebangsaan.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BAM atas segala peluang, bimbingan dan sokongan yang diberikan selama ini.
Mewakili Malaysia sentiasa menjadi satu penghormatan besar dan saya amat menghargai semua individu yang menjadi sebahagian daripada perjalanan karier saya.
Buat masa ini, keutamaan saya adalah untuk pulih sepenuhnya dan mendapatkan semula tahap kecergasan terbaik.
Saya akan mengambil sedikit masa jauh daripada pertandingan untuk memberi fokus kepada proses rehabilitasi sebelum kembali ke gelanggang, dan saya teruja untuk memulakan babak baharu dalam karier saya,” katanya.
Perpisahan ini menandakan berakhirnya satu episod penting dalam karier Ng Tze Yong bersama BAM, namun pada masa sama membuka lembaran baharu buat pemain yang pernah dianggap antara prospek terbaik perseorangan lelaki negara itu untuk kembali bangkit selepas melalui tempoh paling mencabar dalam kariernya.