Skip to main content

Sukan SEA

Badminton: Tugas sukar skuad perseorangan wanita

tey-seu-bock.jpg
Kemungkinan untuk perseorangan wanita negara mempertahankan pingat emas dalam Sukan Sea Fillipina 2019 akan menjadi pencapaian lebih manis berbanding detik Goh Jin Wei dinobatkan juara dalam edisi di Kuala Lumpur dua tahun lalu.

Skuad perseorangan wanita negara berdepan beberapa situasi sukar menjelang kempen di Filipina itu, termasuk isu kecergasan Jin Wei.

Ketua jurulatih, Datuk Tey Seu Bock, mengesahkan juara remaja dunia dua kali itu masih bergelut untuk kembali ke gelanggang latihan.

Jin Wei difahamkan mengalami gangguan sistem penghadaman yang membataskan komitmennya untuk melakukan aktiviti fizikal berkeamatan tinggi.

"Terus terang memang sukar.

"Dengan keadaan semasa, Goh Jin Wei juga belum berlatih sepenuhnya, dia hanya datang sekali-sekala.

"Kalau dia rasa selesa, dia akan datang (latihan).

"Saya tidak yakin sebab dia belum mula berlatih lagi.

"Dah dua bulan lebih tak berlatih.

"Tak mungkin saya nak letak sasaran kepada orang yang tidak berlatih daripada sekarang," kata Seu Bock.

Selain itu, kebangkitan perseorangan Singapura, Yeo Jia Min. meluaskan saingan buat pemain wanita utama negara, Soniia Cheah, dalam pemburuan pingat emas.

Ia di sebalik skuad Thailand yang akan turun sebagai pasukan pilihan dengan empat pemain berkualiti.

"Thailand masih mempunyai pemain yang berkualiti dan semakin meningkat.

"Empat pemain mereka meningkat dengan amat mendadak.

"Buat masa ini, saya nampak Soniia yang paling dekatlah.

"Untuk bandingkan standard Soniia dengan mereka, bukan jauh sangat tetapi masih ada jurang," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video