SUKAN SEA
Badminton: June Wei jadikan kegagalan ke Filipina pembakar semangat
Perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, berazam membuktikan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menyenaraikannya ke Sukan SEA Filipina 2019, November depan, adalah satu kesilapan berdasarkan pencapaiannya dalam Kejohanan Badminton Terbuka Taiwan, minggu lalu.
Atlet dari Pulau Pinang berumur 22 tahun itu mencipta kejutan apabila mara ke suku akhir sebelum tumbang kepada wakil tuan rumah, Chou Tien Chen, 11-21, 21-15, 17-21, yang menjuarai kejohanan tersebut.
Lebih membanggakan, dia mengatasi pencapaian rakan sepasukan, Lee Zii Jia, yang tersingkir awal walaupun turun dengan reputasi juara bertahan edisi lalu.
Iklan
June Wei mengakui kecewa tidak dapat meyakinkan panel kejurulatihan BAM untuk membuat penampilan pertama dalam temasya dwitahunan itu yang memberi ruang kepada dua pemain muda, Lim Chong King dan Aidil Sholeh Ali Sadikin, untuk mengibarkan misi skuad negara.
"Saya agak kecewa dengan keputusan itu (tidak disenaraikan dalam Sukan SEA).
"Sudah tentu BAM mahu memberi pendedahan kepada pemain pelapis tetapi saya berhasrat untuk memberikan aksi terbaik dalam setiap kejohanan," katanya.
Tambahnya, misi dia kini adalah cuba untuk menaikkan rankingnya yang kini di tangga ke-78 dunia.
"Sejak muncul finalis dalam Kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia (di Ipoh, Perak) dua bulan lalu, saya agak bergelut dengan prestasi.
"Oleh itu, saya gembira dapat memberikan tentangan (baik) dalam Terbuka Taiwan," katanya lagi.
Must-Watch Video