Skip to main content

Permotoran

Azlan raih kedudukan kedua di China

azlan-shah.jpg
Selepas gagal meraih podium dalam perlumbaan pertama semalam, pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman, kembali mempamerkan aksi memukau untuk meraih tempat kedua kelas ASB1000 dalam pusingan kelima Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Antarabangsa Zhuhai, China, hari ini.

Pelumba pasukan Onexox TKKR SAG Team itu, yang terjatuh dalam perlumbaan pertama semalam, melakar catatan masa 20 minit 38.931 saat, ketinggalan 1.394s di belakang pelumba Australia, Broc Parkes, daripada pasukan Yamaha Racing Team ASEAN.

Rakan sepasukan Parkes, Yuki Ito, menduduki tangga ketiga setelah merakam masa 20:39.944s manakala seorang lagi pelumba negara, Zaqhwan Zaidi, yang menjuarai perlumbaan pertama semalam, sekadar meraih kedudukan keempat dengan catatan masa 20:40.184s.

“Semalam memang agak kecewa selepas terjatuh, namun hari ini saya bertekad untuk mengatasi kekecewaan tersebut. Semuanya berjalan seperti dirancang dan momentum saya sepanjang mengharungi perlumbaan ini juga lebih stabil.

“Saya perlu bekerja keras juga kerana di awal saingan, rentak saya agak perlahan. Apa yang penting, saya berjaya menjejak podium hari ini dan ia kejayaan yang amat bermakna buat pasukan,” kata Azlan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan penganjur perlumbaan, hari ini.

Keputusan positif yang dicapai Azlan itu tidak mengubah kedudukan pelumba berkenaan yang masih berada di tangga ketiga keseluruhan kategori ASB1000 dengan 139 mata manakala Parkes dan Zaqhwan masing-masing berada di tangga teratas dan kedua dengan mengumpul 188 mata dan 153 mata.

Pusingan keenam ARRC 2019 akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 19 hingga 22 September ini.

Keputusan perlumbaan dua ASB 1000 (kedudukan lima teratas): 

Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 20:37.537s
Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) ONEXOX TKKR SAG Team – 20:38.931s
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 20:39.944s
Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with SHOWA – 20:40.184s
Thitipong Warokorn (THA) Kawasaki Thailand Racing Team – 20:40.498s

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video