Skuad bola sepak negara kini mendahului Kumpulan B, saingan Piala Hyundai ASEAN apabila membelasah Laos 4-0 di Stadium Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.
Selepas menjaringkan dua gol ketika menewaskan Myanmar di Yangon pada Sabtu lalu, kapten Harimau Malaya, Paulo Josue, sekali lagi membuktikannya apabila menjaringkan gol pembukaan dengan menyudahkan umpanan G. Pavithran pada penghujung babak pertama.
Malaysia meneruskan asakan dalam babak kedua dan Endrick dos Santos berhasil menggandakan kelebihan pada minit ke-57 sebelum tekanan yang diberikan memaksa pertahanan Laos, Viengxay Sydavong, terjaring gol ke gawang sendiri pada minit ke-66.
Pemain yang menjadi perhatian, Wan Kuzain Wan Kamal, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, turut berhasil menjaringkan gol cantik menerusi sepakan percuma gemilang pada minit ke-84 untuk mengesahkan pesta gol Harimau Malaya.
Skuad negara seterusnya akan bertemu Thailand di Stadium Rajamangala, Bangkok pada Sabtu ini.