SUKAN LAIN
Amsyar perlu tamat pengajian
Bekas penerjun negara, Ahmad Amsyar Azman, perlu menamatkan baki setahun pengajian di Universiti Malaya sebelum menyertai bidang kejurulatihan seperti yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN).
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata MSN mahu bekas atlet negara menamatkan pengajian masing-masing sebelum dipertimbangkan sebagai calon jurulatih skuad kebangsaan atau di peringkat negeri.
Ia bagi memastikan mereka mempunyai bekalan pendidikan yang baik untuk menghadapi masa depan.
Iklan
"Dia sudah masak dengan sistem latihan yang kami ada.
"Dan tidak mustahil jika dia tidak mahu berkecimpung sepenuhnya dalam pengurusan sukan, kami boleh salurkannya kepada bidang kejurulatihan jika dia berminat.
"Secara kebetulan, kami juga tidak mempunyai ramai jurulatih tempatan dalam sukan terjun.
"Jadi, dengan adanya watak-watak seperti Amsyar ini, yang kita tahu mempunyai disiplin yang baik dan boleh bercakap dalam bahasa Mandarin, dalam masa sama boleh berbahasa Melayu dan Inggeris dengan baik, itu merupakan aset kepada bidang kejurulatihan," kata Ahmad Shapawi.
Sebelum ini, beberapa bekas penerjun negara seperti Yeoh Ken Nee dan Rossarisham Roslan pernah bertindak sebagai jurulatih selepas meninggalkan skuad kebangsaan.
Amsyar menamatkan karier 15 tahunnya sebagai atlet selepas menyertai pelbagai temasya sukan, termasuk Sukan Olimpik Rio 2016.
Must-Watch Video