Atlet menembak kebangsaan, Alia Sazana, mahu memastikan penyertaannya dalam Kejohanan Air Gun Asia 2016 di Iran mampu ditamatkan dengan aksi terbaik memandangkan ia kejohanan terakhir buat skuad menembak negara tahun ini.
Kejohanan yang bermula Sabtu ini dijangka sukar buat penembak berusia 24 tahun ini kerana tidak beraksi dalam acara kegemarannya, iaitu 25 meter air pistol, sebaliknya perlu fokus kepada 10 meter air pistol.
Bagaimanapun, kejohanan yang hanya melibatkan kategori 10 meter itu bukanlah perkara baru buat Alia, sebaliknya dia percaya mampu mencabar diri untuk meraih keputusan terbaik mengakhiri tahun 2016.
"Ini adalah peluang untuk saya memperbaiki aksi saya dalam acara ini.
"Kebiasaannya apabila saya bertanding, saya tidak pernah mengharapkan apa-apa selain daripada peningkatan daripada aspek menembak," jelasnya.
Meskipun gagal untuk layak ke Sukan Olimpik Rio dan mengharungi pelbagai dugaan, termasuk pernah mengeluarkan belanja sendiri semata-mata untuk menyertai Piala Dunia sebelum ini, pemenang pingat emas Sukan SEA 2015 itu tetap puas dengan pencapaiannya dan tidak pernah serik untuk terus memperbaiki prestasi.
"Saya amat berpuas hati dengan aksi saya tahun ini. Pungutan mata saya bertambah baik, jadi saya sangat gembira."