Skip to main content

Sukan Lain

ACC: Kilauan emas ke-12 gamit Azizulhasni Awang

azizulhasni-awang-tokyo-olympics_1.jpg
Jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang, semakin bersemangat menambah koleksi pingat emas dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.

Selepas menyambar emas acara pecut individu elit lelaki semalam, Azizulhasni tampak berada di momentum terbaik untuk meraih satu lagi kilauan emas menerusi acara kegemarannya, keirin.

Bagaimanapun, Azizulhasni tidak mahu terlalu meletakkan tekanan ke atas dirinya, sebaliknya bersedia dengan sebarang perancangan daripada ketua jurulatihnya, John Beasley.

“Sasaran saya sekurang-kurangnya satu pingat emas (dalam ACC 2023) dan selepas ini keirin... anda semua tahu saya tak akan main-main, saya akan berusaha dengan penuh gigih.

“Saya sudah capai sasaran (selepas meraih emas acara pecut individu). Jadi tengoklah bagaimana perlumbaan Ahad ini... saya tak tahu perancangan John.

“Apapun saya ingin meraikan kejayaan ini dahulu dan selepas itu bincang mengenai perancangan Ahad ini. Nak menang, memang nak menang kerana keirin adalah acara kegemaran saya,” katanya.

Kejayaan meraih emas acara pecut individu itu menyaksikan Azizulhasni kini mengumpulkan 11 pingat emas ACC dalam koleksinya, sekali gus memahat legasinya yang tersendiri di pentas Asia.

Selain Azizulhasni, rakan sepelatihnya, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, yang memburu gelaran sulung peribadinya dalam ACC, turut dijadualkan beraksi dalam acara keirin.

Menurut Shah Firdaus, dia meletakkan sasaran awal mara ke peringkat final sebelum mencongak strategi baru bersama Beasley dalam memburu kilauan pingat.

“Dalam final itu nanti, harap kami tak bagi tiga pelumba Jepun sampai ke final kerana kita tahu, kalau tiga daripada mereka dalam final, mereka akan lakukan taktikal tradisi mereka.

“Jadi kami kena 'pecahkan' mereka. Harapnya mereka tidak semua ke final kerana dalam keirin, semuanya adalah mengenai taktikal,” ujarnya.

Kredit: Sinar Harian

 

Advertisement

Must Watch Video