BADMINTON
Wee Gieen, Chee Tan mampu sertai kelompok 30 terbaik dunia -- Rosman
Jurulatih badminton beregu lelaki negara, Rosman Razak, optimis anak buahnya, Tan Wee Gieen dan Tan Chee Tean, mampu mencapai misi mereka untuk berada dalam kedudukan 30 terbaik dunia tahun ini.
Wee Gieen dan Chee Tean berazam untuk muncul 30 terbaik dunia awal tahun ini ketika sedang menghuni ranking ke-57 dunia.
Kedua-duanya baru sahaja ditempatkan di bawah kendalian Rosman yang kembali bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM).
Iklan
Hampir empat bulan berlalu, ranking dunia Chee Tean dan Wee Gien semakin merudum dan yang terbaru berada di kedudukan ke-66 dunia, jatuh sembilan anak tangga dari kedudukan asal, Januari lalu.
Ia ekoran persembahan mereka dalam empat kejohanan yang disertai tidak begitu memberangsangkan, dengan kali terakhir dalam Masters China 18 April lalu, kedua-dua pemain ini tersungkur dalam pusingan pertama kepada gandingan Thailand, Trawut Potieng dan Nathakarn Yorphaisong.
"Mereka banyak memasuki kejohanan tetapi bukan yang berkualiti. Jadi, dalam sistem ranking, ia akan memotong mata. Tetapi satu lagi pasangan ranking mereka naik walaupun kurang menyertai kejohanan.
"Kiraan mata ranking memang agak pelik," ujar Rosman.
Meskipun kedudukan ranking itu mampu dikejar menjelang penghujung tahun 2017, kedua-dua pasangan ini hanya mempunyai tempoh sehingga Jun ini untuk membuktikan kemampuan diri jika berhasrat untuk mewakili Malaysia dalam temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos ini.
"Saya tidak gusar dengan ranking. Yang penting adalah mempersiapkan diri saya. Harapan saya adalah utnuk melaykkan diri ke Sukan SEA," kata Wee Gieen.
Must-Watch Video