Skip to main content

Badminton

Tindakan tegas nanti pemain, jurulatih -- Choong Hann

wong-choong-hann_1.jpg
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, memberi jaminan akan wujud implikasi ke atas pemain dan jurulatih yang gagal mencapai sasaran tertentu, termasuk misi dua pingat emas dalam Sukan SEA Filipina 2019.

BAM menerusi presidennya, Datuk Seri Norza Zakaria, hari ini menegaskan kepentingan untuk jurulatih dan pemain seiring memikul aspirasi badan induk itu.

Kredibiliti badminton negara di peringkat Asia Tenggara menjadi tanda tanya susulan prestasi menggusarkan dalam Kejohanan Dunia, bulan lalu.

Kini, wujud persoalan apakah acara yang berupaya menghadirkan dua emas ketika Malaysia ketinggalan dalam setiap acara kepada seteru seperti Indonesia dan Thailand.

"Lebih daripada dua  pemain memiliki potensi. Saya bersetuju dengan pendapat anda bahawa masih terlalu awal untuk mengesahkannya. Saya percaya kami berkongsi sasaran yang sama dan sentiasa melakukan penilaian secara konsisten," kata Choong Hann.

Bekas pemain kebangsaan itu juga mahu rakyat Malaysia tahu dia dan pengurusan BAM tidak akan berpeluk tubuh sekiranya prestasi skuad kebangsaan terus merudum.

"Sudah tentu pemain sentiasa memiliki Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk dicapai, jadi saya rasa ia sebahagian daripada proses. Kami akan mendapatkan lebih ramai pemain baru demi masa depan."

Sementara itu, pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing, bertekad untuk memastikan hasrat dua emas yang menjadi buruan Malaysia di Filipina mampu dilaksanakan.

Antara inisiatif yang diambil Pei Jing serta seorang lagi rakan sepasukan, Shevon Lai, adalah dengan meningkatkan intensiti latihan fizikal.

Perubahan corak permainan dalam saingan beregu campuran menyaksikan pemain wanita juga perlu bertindak memainkan peranan lebih agresif.

"Sekarang, beregu campuran berbeza. Kalau dulu, pemain wanita sedikit lemah tidak mengapa tetapi kini semua negara sudah meningkat. Jadi, kami perlu meningkatkan kekuatan, kepantasan serta lebih agresif," katanya.

Pei Jing dan gandingannya, Tan Kian Meng, tersingkir dalam pusingan ketiga Kejohanan Dunia di tangan juara bertahan Sukan SEA dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Taerattanachai Sapsiree.

Realiti cabaran sukar jelas diakui pemain berusia 27 tahun itu apabila wakil beregu campuran negara, termasuk satu lagi gandingan, Goh Soon Huat-Shevon, akan turut berentap di Filipina nanti.

"Ada sasaran yang susah tetapi ia perlu dicapai pemain. Kalau boleh, kami harap mampu hadirkan emas untuk Malaysia, tidak kira siapa yang beraksi. Kami akan lakukan yang terbaik untuk mencapai sasaran itu," tambah Pei Jing.

Advertisement

Must Watch Video