Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Jin Wei pamer aksi garang

5417jinwei.jpg
Selepas sekian lama menyepi ekoran kecederaan, perseorangan badminton wanita negara, Goh Jin Wei, kembali dengan aksi garang dalam Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak, hari ini.

Dia mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan dari Indonesia, Susanto Yulia Yosephin, 21-15, 20-22, 21-17.

Ini adalah penampilan pertama Jin Wei di dalam gelanggang selepas berehat panjang akibat mengalami kecederaan buku lali ketika Kejohanan Masters Malaysia di Sibu, Januari lalu.

Meskipun disahkan pulih sepenuhnya, Jin Wei dilihat masih lagi berhati-hati dalam mengatur langkahnya kerana khuatir kecederaan lama mungkin berulang.

"Banyak kesilapan pada awalnya kerana saya tidak masih kurang menyesuaikan diri dalam gelanggang.

"Ini adalah pertandingan pertama selepas dua bulan. Saya masih yakin saya dapat memenangi perlawanan, walaupun lawan juga kuat," katanya.

Layak ke pusingan kedua, sandaran lebih tinggi diletakkan pada bahu jin Wei memandangkan wakil negara yang lain dalam acara perseorangan wanita telah pun tersingkir.

Berbicara tentang peluangnya menentang lawan dari China, Chen Yu Fei, Jin Wei masih optimis dapat mengalahkan pemain itu meskipun rekod perlawanan sebelum ini memihak kepada Yu Fei.

"Saya harap dapat bermain dengan baik dan ia bukan senang. Sebelum ini saya tewas dan diharapkan kali ini saya dapat berikan saingan hebat di laman sendiri," tambahnya.

Sementara itu, beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, turut memulakan kempen dengan langkah kanan apabila mara ke pusingan kedua selepas menundukkan pasangan Denmark dalam aksi tiga set.

Mads Conrad-Petersen dan Mads Pieler Kolding rebah di tangan beregu negara dengan, 21-19, 16-21, 21-10, dalam masa 47 minit.

Advertisement

Must Watch Video