Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: Harapan Jin Wei ke suku akhir musnah

6517jinwei.jpg
Perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei, tewas kepada pemain China, Chen Yufei, 14-21, 12-21 dalam pusingan kedua, sekali gus tersingkir daripada saingan Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak, hari ini.

Jin Wei turun dengan motivasi tinggi untuk berdepan Yufei selepas meraih kemenangan ke atas pemain Indonesia, Susanto Yulia Yosephin, dalam pusingan pertama, semalam.

Malangnya, harapan yang disandarkan musnah apabila Jin Wei beraksi longlai dalam set pertama dan tumpas14-21.

Jin Wei cuba untuk bersaing dengan Yufei dalam set kedua tetapi lawan tampak terlalu sukar untuk ditewaskan sebelum dia kecundang 12-21.

"Saya bermain tidak bagus dan memberi lawan peluang untuk menyerang," kata Jin Wei. "Saya rasa perlawanan selepas ini saya akan bermain lebih baik."

Sementara itu, impian beregu wanita negara, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean, untuk mencipta kejutan melangkah ke suku akhir tidak kesampaian apabila dinafikan pasangan China, Chen Qingchen dan Jia Yifan, 17-21, 21-18, 23-25.

Selepas tewas set pertama 17-21, pasangan negara itu mempamer kebangkitan dalam set kedua dengan mencatat kemenangan 21-18.

Bagaimanapun, dalam set ketiga, saingan sengit ditampilkan Mei Kuan-Meng Yuen sehingga perlawanan berlarutan lebih mata 20.

Sekalipun Mei Kuan-Meng Yuen menunjukkan keinginan yang tinggi untuk memenangi set itu, ia masih belum cukup untuk menghalang Qingchen-Yifan meraih kemenangan 25-23.

"Kali ini (sebelum ini) kami memang yakin untuk menewaskan mereka dan selalu membaca permainan mereka. Mereka adalah sasaran utama kami untuk ditewaskan," kata Meng Yuen.

Dalam pada itu, Mei Kuan berkata: "Walaupun pertahanan kami bagus, mereka tetap mengambil mata daripada serangan. Bagaimana bagus pun pertahanan, kami perlu tukar kepada menyerang."

Turut tersingkir dalam pusingan kedua adalah pasangan beregu lelaki negara, Teo Ee Yi dan Ong Yew Sin.

Turun sebagai wakil terakhir negara dalam pusingan itu, Ee Yi-Yew Sin gagal mengatasi beregu China, Fu Haifeng dan Zheng Siwei, yang menyaksikan mereka tewas 12-21, 11-21.

Advertisement

Must Watch Video