Skip to main content

Badminton

Terbuka Indonesia: Aaron Chia-Soh Wooi Yik lolos ke suku akhir

aaron-chia-soh-wooi-yik-malaysia-badminton.jpg
Pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, meneruskan rentak cemerlang pusingan pertama Terbuka Indonesia dengan merekodkan kemenangan ke atas beregu Korea Selatan, Choi Sol-gyu-Kim Won-ho, sebentar tadi.

Selepas menyingkirkan pasangan tuan rumah, Muhamad Shohibul Fikri-Bagas Malauna, dalam pusingan pertama semalam, pasangan negara yang juga pilihan kedua kejohanan turun berdepan dengan beregu Korea Selatan, Sol-gyu-Won-ho dalam aksi pusingan 16 terbaik.

Ternyata Aaron-Wooi Yik, tidak diberi laluan mudah untuk menempah slot ke suku akhir apabila diberi tentangan sengit seawal aksi di set pertama.

Ia menyaksikan mata pendahuluan silih berganti antara kedua-dua beregu tersebut yang mempamerkan penguasaan gelanggang yang baik.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik lebih bertenaga untuk menamatkan saingan di set pertama dengan kemenangan 21-19.

Skrip hampir sama berulang di set kedua dalam usaha wakil Korea itu mengikat kedudukan.

Bagaimanapun, Aaron-Wooi Yik lebih bijak membaca rentak permainan sekaligus berjaya menguasai permainan.

Pilihan kedua kejohanan itu membuktikan mereka lebih layak beraksi ke pusingan seterusnya apabila menamatkan set kedua dengan kemenangan 21-16. 

Sementara itu, hasrat beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, untuk meneruskan kemaraan dalam saingan Terbuka Indonesia tidak kesampaian selepas tewas di tangan beregu tuan rumah, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari.

Kian Meng-Pei Jing bagaimanapun mempamerkan aksi yang agak baik di set pertama dengan menyaksikan mata kedua-dua pasangan agak rapat.

Bermain di hadapan penyokong sendiri ternyata memberi kelebihan buat Rinov-Pitha apabila berjaya melebarkan jurang mata sebelum akhirnya berjaya menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17.

Kian Meng-Pei Jing cuba melakukan kebangkitan di set kedua untuk sekurang-kurangnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Bagaimanapun, hasrat tersebut tidak kesampaian apabila sekali lagi terpaksa akur dengan penguasaan gelanggang Rinov-Phita yang menamatkan saingan dengan kemenangan 21-16.
 

Advertisement

Must Watch Video