Skip to main content

Badminton

Terbuka AS: Goh Sze Fei-Nur Izzuddin rangkul trofi sejak digandingkan semula

goh-sze-fei-nur-izzuddin.jpg
Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, membuktikan rujuk mereka berbaloi apabila merangkul kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2023, awal pagi tadi. 

Tampil lebih tenang selepas berpisah lima bulan, Sze Fei-Nur Izzuddin dengan mudah menyingkirkan cabaran pasangan kembar dari Taiwan, Lee Fang-Chih-Lee Fang-Jen. dalam perlawanan akhir di Pusat Mid-America, Council Bluffs, Iowa.

Pasangan pilihan ketiga kejohanan itu hanya memerlukan 30 minit untuk mengetepikan lawan yang juga pilihan ketujuh, 21-9, 21-10.

Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke perlawanan akhir selepas menunjukkan jalan pulang kepada pilihan kelima dari China, Chen Bo Yang-Liu Yi, 21-14, 21-17.

Fang-Chih-Fang-Jen pula mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan pasangan senegara, Lin Yun Chieh-Su Li Wei, 21-17, 21-12.




Kejayaan menjuarai KejohananTerbuka AS membolehkan Sze Fei-Nur Izzuddin merangkul kejuaraan kedua Siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas Terbuka Jerman pada 2022.

Edisi Terbuka Jerman 2022 menyaksikan pasangan Malaysia itu menewaskan pasangan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, 23-21, 16-21, 21-14.

Kejuaraan AS merupakan pertemuan kedua bagi kedua-dua pasangan yang kali terakhir berentap di Kejuaraan Siri Antarabangsa Vietnam 2016.

Dalam kejohanan di Vietnam itu, pasangan Malaysia tersebut menewaskan lawan mereka, 21-9, 21-20.

Sebagai rekod, kejuaraan Terbuka AS merupakan kejohanan pertama mereka selepas kembali bersama bulan lalu sejak berpisah Februari lalu.

Selepas muncul beregu dari Malaysia yang mara ke perlawanan akhir dalam tempoh 27 tahun di AS, Sze Fei-Nur Izzuddin akan menyahut cabaran dalam Terbuka Korea pula.

Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock merupakan beregu lelaki Malaysia terakhir yang mara ke perlawanan akhir ketika muncul naib juara edisi 1996.

Advertisement

Must Watch Video