Skip to main content

Badminton

Projek 24: BAM akan semuka dengan Choong Hann

wong-choong-hann.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan bersemuka dengan pengarah kejurulatihannya, Wong Choong Hann, bagi memastikan setiap pihak yang terlibat faham mengenai hala tuju Projek 24.

Sejak mula berkhidmat bersama BAM Januari lalu, Choong Hann mengambil pendekatan berbeza dalam melaksanakan tugasnya.

Antaranya dengan mendekatkan diri dengan aspek teknikal latihan dan mengiringi skuad negara ke hampir kesemua kejohanan yang disertai.

BAM menerusi setiausaha agungnya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T), Datuk Kenny Goh, menegaskan kepentingan Choong Hann untuk memahami peranannya sebagai perancang utama skuad negara.

"Sama ada beliau mempunyai pelan menyeluruh atau tidak, saya masih kurang pasti.

"Sebab saya pun masih mencuba untuk melihat dan mengkaji apa peranan sebenar Wong Choong Hann.

"Tetapi bagi saya, Choong Hann sebagai seorang pengarah, beliau sepatutnya menjadi seorang pakar strategi.

"Beliau perlu memiliki pelan menyeluruh dalam membantu jurulatih mencapai KPI (petunjuk prestasi utama) dan objektif masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Kenny turut menyedari pengumuman BAM untuk menggugurkan pemain yang tidak menepati piawaian Projek 24 menerusi penilaian pada Disember depan, membangkitkan rasa kurang selesa dalam kalangan pemain senior negara.

Namun, beliau menganggap situasi itu sebagai peluang buat mereka untuk membuktikan kemahuan bagi menjadi sebahagian daripada program kebangsaan dan Projek 24.

"Sukan itu untuk mereka yang kuat, jadi dengan pengumuman seperti itu, mereka sepatutnya menganggap ia sebagai peluang untuk membuktikannya kepada kami.

"Tetapi jika mereka menganggap pengumuman seperti itu merupakan sesuatu yang mengganggu, mungkin ia bukan untuk mereka," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video