Skip to main content

Badminton

Kian Meng tidak gusar dua misi serentak

tan-kian-meng.jpg
Tugas untuk mengimbangi misi di antara Sukan SEA Filipina dan Kejohanan Jelajah Final Persekutuan Badminton Dunia (BWF) tidak menjadi kegusaran buat pemain beregu campuran negara, Tan Kian Meng.

Dia dan gandingannya, Lai Pei Jing, diletakkan sebagai antara prospek untuk meraih pingat emas dalam temasya di Filipina itu, November depan

Di samping itu, mereka juga berada di landasan terbaik untuk layak ke Jelajah Final BWF di Guangzhou,  China -- serentak dengan saingan Sukan SEA -- jika konsisten  menyertai kejohanan bertaraf terbuka.

Ia juga senario sama yang dihadapi satu lagi gandingan kebangsaan, Goh Soon Huat-Shevon Lai.

"Saya rasa dua-dua (kejohanan) penting kerana ia untuk negara.

"Kami akan lihat percaturan pihak pengurusan.

"Tapi jika kami layak ke Jelajah Dunia, kami kena pergi, sebab jika tidak, kami akan didenda.

"Jadi, kita akan tengoklah keputusan selepas ini macam mana," katanya.

Kian Meng turut menegaskan keputusan untuk menarik diri daripada Terbuka Taiwan, yang sedang berlangsung ketika ini, sebagai satu keperluan.

Ia bagi memastikan mereka berada dalam keadaan lebih baik sebelum menghadapi Terbuka China, 17 September ini.

"Saya rasa ia langkah yang tepat kerana kami memerlukan banyak latihan.

"Jika menyertai Terbuka Taiwan, takut-takut kami tidak dapat beraksi baik di China.

"Jadi, kami lebih fokus untuk menghadapi kejohanan di China dan Korea (Selatan)," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video