Skip to main content

Badminton

Khairy puji kesepakatan dalam BAM

20417khairy.jpg
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memuji kata sepakat dan kekeluargaan yang ditunjukkan dalam Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi menentukan pucuk pimpinan persatuan itu.

Ia berikutan Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid, memberi laluan kepada Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria untuk menggalas tugas menerajui badan induk itu bagi penggal 2017-2021.

Justeru, Khairy percaya Norza mampu menggalas tanggungjawab selaku Presiden BAM yang baru.

"Sebagai seorang pemimpin sukan muda, dia diberikan mandat sepenuhnya untuk membawa BAM ke arah yang lebih tinggi," kata Khairy.

"Norza mempunyai sokongan daripada Al-Amin dan saya sendiri untuk memastikan badminton Malaysia akan memperoleh pencapaian terhebat dalam Sukan Olimpik, malah ke arah yang lebih baik. Ia akan bermula dengan Piala Sudirman dan selepas itu Kejohanan Dunia."

Dalam pada itu, Al-Amin, yang bakal dicalonkan sebagai penasihat BAM, menyifatkan tindakannya memberi laluan buat Norza adalah kerana mengutamakan kepentingan badminton negara.

"Kita lihat kemampuannya (Norza) memang ada. Dia mempunyai perancangan, pemikiran dan semangat untuk memastikan badminton kita ini dipertingkatkan lagi," kata Al-Amin.

Norza, yang memegang jawatan timbalan presiden pada ketika ini, bakal menang tanpa bertanding untuk jawatan presiden dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 29 April ini.

Keputusan tersebut dicapai selepas ahli majlis BAM mengadakan pertemuan dengan penaung persatuan itu, Datin Seri Rosmah Mansor, di kediaman rasmi Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya, hari ini.

Advertisement

Must Watch Video