BADMINTON
Kekuatan mental barisan beregu lelaki negara lemah
Jurulatih beregu lelaki negara, Jeremy Gan, menuntut barisan pemainnya, terutama gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong, agar belajar menerima hakikat kekalahan supaya mereka boleh terus maju ke depan untuk memperbaiki prestasi di dalam gelanggang.
Ini merupakan kempen Terbuka Malaysia yang mengecewakan buat barisan pemain negara dalam acara beregu lelaki.
Tumpasnya sandaran utama, V Shem-Wee Kiong, dalam pusingan pertama kepada lawan yang tidak ternama dari Hong Kong, Tan Chung Man-Or Chin Chung, menimbulkan keraguan terhadap keupayaan pasangan beregu Malayasia itu.
Iklan
Daripada perspektif jurulatih mereka, Jeremy Gan, V Shem-Wee Kiong perlu memperbaiki komunikasi dan mempunyai pemikiran yang sama ketika berada di dalam gelanggang.
Jika tidak, ia pasti akan mengganggu fokus mereka ketika menghadapi lawan.
"Kadang-kadang mereka menganggap masalah yang dihadapi terlalu besar.
"Kebiasaannya, situasi beregu lelaki bergantung kepada prestasi pada hari itu.
"Mereka terlalu memikirkan tentang kekalahan dan tidak boleh menerima hakikat sehingga membuatkan keyakinan mereka menurun," kata Jeremy.
Dua wakil negara yang turun dalam acara beregu lelaki semalam, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin serta Low Juan Shen-Chooi Kah Ming, juga gagal meneruskan cabaran negara ke peringkat suku akhir.
Situasi yang perlu diberi perhatian oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam melakukan bedah siasat tentang kemerosotan pemain dalam acara itu, apatah lagi Malaysia mempunyai misi penting, iaitu Piala Sudirman di Gold Coast, Australia, bulan depan.
"Kami hanya perlu meningkatkan tahap keyakinan.
"Semasa bertarung, corak permainan kami agak lambat kerana terlalu menghormati lawan.
"Ini yang kami perlu pelajari," ujar Ee Yi.
Bagi Juan Shen pula, pengalaman kali ini merupakan pendedahan bermakna untuk mengukur kemampuan dirinya.
"Ini merupakan kejohanan Super Siri pertama buat kami, kami sepatutnya boleh menampilkan aksi yang lebih baik lagi.
"Kami perlu berlatih lebih kuat lagi," katanya.
Must-Watch Video