Jurulatih skuad badminton remaja negara, Kwan Yoke Meng, berada dalam dilema apabila ketandusan bakat untuk diketengahkan menjelang Kejohanan Remaja Dunia di Kazan, Russia bulan depan.
Malaysia kini ketandusan pemain untuk meneruskan legasi Goh Jin Wei, yang meraih kejuaraan remaja dunia kedua tahun lalu sebelum beralih ke peringkat senior.
Pengendali itu bukan sahaja tiada pemain dalam kelompok 10 terbaik dunia, malah perlu mencuba untuk memastikan insiden dalam Kejohanan Remaja Asia di Suzhou, China, Julai lalu -- Malaysia kandas awal dalam acara berpasukan -- tidak berulang.
Sesi pemilihan selama empat hari sedang dijalankan sejak kelmarin dan Yoke Meng masih memerlukan masa untuk mengumumkan barisan pemain yang akan dibawa ke Kazan.
"Ia bergantung kepada sesi pemilihan dan Jawatankuasa Pembangungan.
"Mereka akan tentukan siapa yang layak ke Kazan.
"Kami sekarang mempunyai pemain 16 dan 15 tahun yang akan dijaga.
"Dua atau tiga tahun akan datang, apabila mereka mendapat lebih pengalaman, mereka akan bangkit dalam kejohanan remaja antarabangsa," katanya.
Bagaimanapun, Yoke Meng masih boleh bergantung kepada beregu lelaki, Yap Roy King-Ooi Jhy Dar, yang meraih kejuaraan dalam Cabaran Antarabangsa Malaysia dan Cabaran Antarabangsa India sebelum ini.
"Apa yang kami ada, kami akan gunakan sebaik-baiknya.
"Semua pemain kecuali Yap Roy King berada di prestasi bawahan.
"Mereka semua mempunyai standard yang lebih kurang sama," tambahnya.
Penulis Jemputan
Sat Sep 07 2019