Skip to main content

Badminton

Kejohanan Dunia: Malaysia bukan kuasa besar

badminton.jpg
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, akur kempen Kejohanan Dunia di Basel, Switzerland sebagai satu kekecewaan yang menyerlahkan betapa Malaysia masih jauh dalam mengembalikan status sebagai kuasa besar.

Secara keseluruhannya, Malaysia diwakili 14 pemain daripada kem kebangsaan yang beraksi dalam 
setiap satu daripada lima acara.

Ketika Lee Zii Jia menepati ramalan dalam acara perseorangan lelaki -- kandas dalam suku akhir semalam -- ada wakil negara yang gagal menampilkan kemampuan sebenar.

Choong Hann tidak berselindung untuk menamakan skuad beregu lelaki dan beregu campuran
sebagai kekecewaan itu.

"Saya boleh kata yang ia tidak memuaskan.

"Saya fikir kami boleh melakukan sesuatu yang jauh lebih baik berbanding di mana kami berada sekarang, terutama daripada bahagian beregu campuran dan beregu lelaki.

"Saya rasa mereka memerlukan lebih perhatian dan kami berlu bekerja lebih keras.

"Sudah pasti kami memiliki prestasi yang baik daripada perseorangan lelaki dengan prestasi yang ditunjukkan Zii Jia.

"Dia menunjukkan perkembangan yang baik," katanya.

Antara keperluan jangka pendek adalah untuk memastikan pemain negara berada dalam kelompok elit dunia.

Sehingga itu, adalah lebih wajar jika peminat badminton tanah air tidak menaruh harapan tinggi untuk melihat sesuatu yang luar biasa daripada kem kebangsaan.

"Pada zaman kami, kami berada dalam kelompok atasan untuk membuktikan yang kami merupakan pesaing yang bernilai.

"Ketika itu, kami berada di tangga keenam, kelima, malah keempat dunia setiap kali menyertai kejohanan.

"Namun, fakta perit buat kita adalah ramai dalam kalangan pemain kini tidak sampai ke tahap itu.

"Mereka benar-benar perlu bekerja keras untuk menyedari bahawa setiap orang perlu memainkan peranan mereka," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video