Skip to main content

Badminton

BAM: Ada ruang untuk baiki prestasi tapi tidaklah begitu teruk

logo-bam.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui bahawa terdapatnya ruang untuk diperbaiki dalam badan tersebut, namun ia tidaklah seteruk yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris hari ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, BAM menyatakan mereka terbuka kepada kritikan yang membina daripada media, namun laporan tersebut memberikan gambaran bahawa pengurusan BAM berada dalam keadaan kucar-kacir.

Artikel berjudul ‘Total Revamp and House Cleaning’ yang disiarkan sebuah akhbar hari ini, mendakwa pengurusan badan induk itu yang masih dengan cara lama dan struktur yang kaku, gagal memberikan kelebihan kepada sukan itu.

Ia turut menuntut BAM yang dikatakan kuno, segera berubah bagi membolehkan kedudukan badminton negara kembali meningkat.

BAM menjelaskan persatuan itu terdiri daripada bekas pemain, yang membuat keputusan teknikal dalam pemilihan pemain dan kaedah latihan, sekali gus menafikan tuduhan bahawa Majlis BAM yang membuat keputusan dalam struktur latihan dan pemilihan pemain.

Sebagai sebuah persatuan yang progresif, BAM, tambah kenyataan itu, sentiasa mengkaji semula pelan dan dengan nasihat pengarah kejurulatihan dan jurulatih kebangsaan, mereka telah membuat beberapa penambahbaikan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam Mesyuarat Majlis Ketiga bagi 2019 bulan lalu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, mengumumkan bahawa geran persatuan badminton negeri akan disalurkan berdasarkan program pembangunan akar umbi masing-masing dan secara tidak langsung memperkasakan sukan itu di peringkat negeri.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video