BADMINTON
Badminton Dunia BWF: Kunlavut Vitidsarn juara dunia pertama dari Thailand
Kunlavut Vitidsarn mendedikasikan kemenangan menakjubkannya Kejohanan Dunia BWF di Copenhagen, Denmark, kepada mendiang jurulatih zaman remajanya selepas mencipta sejarah sebagai juara dunia perseorangan lelaki pertama dari Thailand dengan menewaskan Kodai Naraoka, awal pagi tadi.
Pemain berusia 22 tahun itu melalui jalan yang berliku ketika bangkit daripada ketinggalan untuk menang 19-21, 21-18, 21-7 dalam pertarungan selama hampir dua jam di Royal Arena itu.
Pertemuan sengit ini tidak mengejutkan memandangkan kedua-dua pemain gemar bermain dengan rali panjang tetapi Vitidsarn menemui beberapa tenaga tambahan untuk bergelar juara.
Iklan
“Ini adalah impian saya sejak kecil. Ketika masih muda, saya pernah berjanji kepada jurulatih bahawa saya akan mendapat pingat emas. Dia kemudian meninggal dunia dan saya mendedikasikan pingat emas ini kepadanya.
“Saya perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan yang panjang dengan Kodai. Kami tahu permainan masing-masing kerana kami pernah bertemu di peringkat remaja. Anda perlu banyak bersabar dengannya dan ia memenatkan. Saya tidak mempunyai sebarang tenaga untuk meraikannya,” kata Vitidsarn kepada Persekutuan Badminton Dunia.
Dia menyertai Ratchanok Intanon sebagai juara dunia perseorangan dari Thailand.
Dalam masa sama, An Se-young turut mencipta sejarah menjadi juara perseorangan wanita dari Korea Selatan apabila mudah mengalahkan pemain Sepanyol, Carolina Marin, 21-12, 21-10 selepas bertanding selama 42 minit.
Seo Seung-jae meneruskan hari yang indah untuk dirinya dan Korea Selatan dengan menggondol pingat emas kedua menerusi acara beregu lelaki ketika bergandingan di samping Kang Min-hyuk untuk menewaskan wakil tuan rumah, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 14-21, 21-15, 21-17.
Seung-jae turut cemerlang meraih gelaran beregu campuran ketika beraksi dengan Chae Yoo-jung.
Dalam acara beregu wanita, Cheng Qing Chen-Jia Yi Fan, memenangi gelaran beregu wanita ketiga berturut-turut selepas mengalahkan wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia, 21-16, 21-12.
Must-Watch Video