BADMINTON
All England Live: Thinaah tidak kisah tampung kepincangan Pearly
M. Thinaah mempamerkan kualiti sebagai gandingan sejati dengan menggalas tugas berganda untuk menampung rakannya yang tercedera dalam suku akhir Kejohanan Badminton Seluruh England, semalam.
Thinaah dan Pearly Tan tersingkir daripada kejohanan itu ekoran kekalahan 17-21, 19-21 ketika berentap dengan pemain Jepun, Nami Matsuyama, tetapi memenangi hati ramai pihak kerana kemampuannya bertahan sepanjang perlawanan walaupun Pearly mengalami kecederaan.
Pearly jelas tidak cergas untuk pertarungan ini setelah mengalami kecederaan pergelangan kaki kanannya dalam kemenangan pusingan kedua ke atas Apriyani Rahayu-Siti Fadia Ramandhanti, sehari sebelumnya.
Iklan
Namun, dia memilih untuk terus berjuang dan bermain dalam suku akhir walaupun terpaksa berhati-hati dalam mengatur langkahnya.
"Kami sebenarnya sudah bersedia untuk menarik diri. Tetapi All-England adalah acara yang berprestij dan kami mahu mencuba dan bermain sekurang-kurangnya dua atau tiga mata dan lihat sejauh mana keadaan Pearly.
"Paling penting dia tidak mengalami kesakitan. Jika dia, kami akan berhenti.
"Saya tahu saya akan kepenatan tetapi selagi dia baik-baik saja, kami mahu terus berjuang," kata Thinaah.
Pearly, yang menyambut hulang tahunnya yang ke-25 semalam, beremosi apabila menggambarkan perlawanan itu.
“Hadiah hari jadi yang terbaik ialah saya dapat bermain dan menamatkan aksi. Malah, saya memberitahu keluarga saya hanya akan bermain untuk tiga mata.
"Saya tidak dapat beraksi seperti biasa tetapi selagi saya boleh berjalan maka saya mahu bermain," katanya pula yang sebak.
Perjalanan Malaysia dalam Seluruh England berakhir selepas beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai, turut tewas dalam perlawanan suku akhir.
Must-Watch Video