Skip to main content

Sepak Takraw

40 bakat muda terpilih warnai Kem Final Klinik STL 2025, cipta generasi baharu sepak takraw

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

klinik-stl-gp-pulau-pinang.jpg
Klinik STL 2025 menutup tirai musim ini dengan kejayaan apabila 40 peserta terbaik berjaya melayakkan diri ke Kem Final Klinik STL 2025, yang bakal berlangsung di Akademi Sepak Takraw Malaysia dari 7 hingga 11 Oktober 2025.

Musim ketiga tahun ini telah menyaksikan enam siri klinik dilaksanakan, melibatkan dua sekolah terpilih iaitu SMK RPS Bertau (Pahang) dan SK Seberang Takir (Terengganu), serta empat gelanggang rasmi STL dibuka kepada orang ramai iaitu Stadium Titiwangsa (Kuala Lumpur), Arena Larkin (Johor), Stadium Indera Mulia (Perak) dan Kompleks Balik Pulau (Pulau Pinang).

Kem Final Klinik STL 2025 akan menghimpunkan bakat muda dari usia 13 hingga 17 tahun yang telah disaring daripada ratusan penyertaan musim ini. Sepanjang lima hari, mereka akan menerima latihan intensif di bawah kendalian jurulatih kebangsaan, menggunakan modul pembangunan profesional yang dirangka khusus untuk mencungkil potensi dan membentuk bintang masa depan sukan warisan negara ini.

Ketua Bahagian Sukan Astro, Nicholas John berkata: “Klinik STL terus berkembang sejak diperkenalkan pada 2023 dan kini berjaya memperluaskan penyertaan ke empat lokasi berbanding hanya dua lokasi pada musim lalu.

"Musim ini kita menerima sebanyak 1300 penyertaan, dan penyertaan di klinik terbuka terpaksa dihadkan kerana faktor kapasiti gelanggang serta limitasi untuk memilih hanya 40 pemain terbaik. Pada masa yang sama, Klinik STL di sekolah juga telah memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali sukan ini lebih awal, sekali gus memperkukuh pembangunan akar umbi.

“Buat pertama kali, kita menganjurkan Kem Final dengan kerjasama Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM). Kem ini bukan sekadar penutup siri klinik, tetapi menjadi platform elit untuk menghimpunkan bakat muda terbaik dari seluruh negara.

"Matlamat kami adalah menyediakan laluan pembangunan yang tersusun, memberi pendedahan intensif di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan serta membentuk disiplin dan semangat juang.

"Inisiatif ini juga mencerminkan tanggungjawab sosial Astro dalam memperkukuh pembangunan komuniti melalui pelaburan dalam bakat muda tempatan. Usaha ini penting dalam melahirkan pelapis berkualiti yang mampu mewakili negara pada masa hadapan serta menyumbang kepada kesejahteraan sosial dan pembinaan negara,” katanya.

Nicholas turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) atas sokongan dana yang diberikan dalam usaha menggilap bakat baharu, serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) atas pengiktirafan yang membolehkan pelajar sekolah turut serta dalam program ini.

Usaha ini sejajar dengan visi dan matlamat negara untuk membangunkan potensi pelajar ke arah melahirkan generasi yang berbakat, sihat dan cergas.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Klinik STL, Mohd Futra Abdul Ghani, berkata: “Sambutan yang diterima pada tahun ini amat memberangsangkan dan di luar jangkaan. Kehadiran para pelajar benar-benar mengejutkan kami, malah ada yang sanggup datang dari jauh dan mengikuti setiap lokasi klinik demi peluang pemilihan.

"Semangat mereka luar biasa. Walaupun tidak terpilih, mereka tetap pulang dengan ilmu, pengalaman berharga di bawah bimbingan jurulatih kebangsaan, serta motivasi apabila berpeluang beramah mesra dengan pemain-pemain STL yang turut hadir memberi sokongan.”

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada ibu bapa yang sentiasa berada di sisi, memberi dorongan dan semangat untuk anak-anak mereka menceburi sukan sepak takraw. Sokongan keluarga inilah yang menjadi asas penting dalam melahirkan generasi pelapis negara,” katanya.

 

Advertisement

Must Watch Video