Skip to main content

Rencana

‘Why always me’ Balotelli terus bikin gempar

balotelli-cover.jpg
Seluruh kariernya diwarnai dengan keseronokan menimbulkan gempar tapi perkembangan terkini mungkin mengatasi setiap satu daripada perbuatan lalunya.

Disingkirkan oleh Nice, tidak lagi dimahukan oleh Marseille sambil tawaran khidmatnya kepada West Ham tidak pun bersambut,  Mario Balotelli kini di ambang menyertai kelab Brazil, Flamengo, yang sebelumnya sinonim dengan Zico, Romario dan Ronaldinho.

Mana mungkin seorang pemain buangan diterima di sebuah negara yang tersohor dengan permainan bola sepak cantik?

Namun, bersabit dengan Balotelli, apa saja boleh menjadi satu pengecualian.

Rata-rata dianggap antara penyerang paling berbakat – hingga Roberto Mancini turut terdorong memanggilnya semula pada Mei 2018 sejurus dilantik pengurus skuad kebangsaan Itali – Balotelli diakui berupaya menyuntik kehebatan pada hari-hari terbaiknya, cuma ia semakin jarang dilihat.

Tapi isu-isunya di luar padang mengehadkan peluang penyerang berusia sematang 28 tahun itu hingga kelab-kelab yang berminat perlu memutuskan sama ada mereka mampu menangani gelagat luar biasanya.

Berlatarbelakangkan tempoh beraksi bersama kelab-kelab hebat, termasuk Manchester City, Liverpool, Inter Milan dan AC Milan, anehnya tiada petanda ‘Super Mario’ sudah banyak berubah mahupun semakin meningkat dalam ‘kedewasaan’.

Malah, reputasinya menjadi amat teruk suatu ketika hingga majikannya ketika itu, Milan menyertakan satu klausa tingkah laku dalam kontraknya yang menyerupai kod tatalaku Tentera Udara Itali.

Dalam 20 penampilan liga untuk Milan pada 2015-16 itu, Balotelli hanya menyumbat satu gol.

Sewaktu bersama Nice, dia melaporkan diri dengan berat badan berlebihan di samping tiba lewat untuk persiapan pramusim tahun lalu hingga disingkirkan pengurus, Patrick Vieira – bekas rakan sepasukannya bersama City.

Sedikit peningkatannya musim lalu dengan menyumbat lapan gol daripada 15 penampilan turut gagal meyakinkan Marseille untuk kontraknya dilanjutkan hingga menjadi ejen bebas kini.

Manuel Pellegrini dan West Ham juga menolak peluang mendapatkannya secara perpindahan percuma bulan lalu kerana tuntutannya untuk gaji £3.6 juta (RM18.3j) setahun.

Tapi, Balotelli akan lebih diingati dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana dua peristiwa.



Sejurus menyumbat gol pertama City dalam kemenangan 6-1 ke atas musuh setempat, United, di Old Trafford pada 23 Oktober 2011, Super Mario mendedahkan baju T di sebalik jersinya yang tertulis ‘Why Always Me?’.

Hanya sehari sebelumnya, dia menimbulkan gempar apabila membakar bunga api dalam kamar mandi tingkat satu di kediaman dua tingkatnya di Mottram St Andrew, Cheshire hingga didenda £400,000 (RM2.04j) oleh pemiliknya bagi kos pembaikan.

Berita terbaru mengenai kemungkinan dia ke Flamengo, bukan sesuatu yang diada-adakannya untuk menarik perhatian.



Sebaliknya, GloboEsporte melaporkan Presiden Flamengo, Rodolfo Landim, sebagai mengesahkan kelab itu sedang berunding dengan ejennya, Mino Raiola, namun belum hampir kepada persetujuan.

Andai ia dapat dimuktamadkan, Balotelli bukan sekadar akan menjadi pemain berprofil tinggi kedua dari Itali yang berpindah ke Amerika Selatan menyusuli perpindahan Daniele De Rossi ke Boca Juniors.

Lebih daripada itu, ia akan menjadi kegemparan terbesar berkait dengannya untuk Super Mario membuktikan masih ada yang menghargainya.

Jika tidak pun, Fiorentina, Parma dan Genoa sedia menanti untuk menyambar khidmatnya.

 

Advertisement

Must Watch Video