Sejak Sukan Olimpik kuno dilahirkan di Greece, 776 sebelum Masihi, ribuan atlit muncul juara untuk dikalungkan pingat di leher mereka.
Namun, hanya ada beberapa orang saja yang berjaya muncul wira, inspirasi untuk kehidupan jutaan peminat seluruh dunia.
Bekas juara tinju dunia, Muhammad Ali berada dalam kelas itu.
Digelar 'The Greatest' pada zaman kegemilangan era 1960 dan 70-an, Muhammad Ali diingati bukan saja kerana kelincahan di dalam gelanggang, namun cara hidupnya yang jadi panduan kepada jutaan peminat seluruh dunia.
Cassius Marcellus Clay Jr dilahirkan di Louisville, Kentucky, Amerika Syarikat pada 1942.
Pembabitan dalam tinju bermula pada usia 12 tahun apabila basikalnya dicuri. Dia mahu mengajar pencuri terbabit namun dinasihatkan pegawai polis, Joe E Martin agar mempersiapkan dirinya terlebih dulu.
Ia permulaan kepada sesi latihan tinju dan dia kemudian berguru dengan jurulatih amatur, Chuck Bodak.
Perguruan selama empat tahun, Clay kemudian memenangi enam gelaran Golden Glove Kentucky, dua gelaran kebangsaan, kejuaraan Majlis Olahraga Amatur Nasional sebelum pingat emas kategori lightheavyweight Sukan Olimpik Rome 1960.
Selepas itu, Clay menyertai arena profesional dan menang pertarungan sulung menentang Tunney Hunsaker dalam enam pusingan pada 1960.
Empat tahun kemudian, dia bergelar juara dunia selepas menewaskan Sonny Liston. Ia pertarungan penuh bersejarah kerana dalam pertarungan itu, dia mengubah arena tinju dunia.
Pelbagai perang psikologi digunakan Clay sebelum pertarungan. Antaranya: "Liston seperti beruang besar hodoh", "bau Liston umpama beruang" dan "selepas menewaskannya, saya akan menderma tubuhnya ke zoo".
Hampir 15 tahun berikutnya, peminat tinju dunia akan ternanti-nanti pertarungan Clay yang memeluk Islam dan menukar nama kepada Muhammad Ali.
Selain pertarungan dalam gelanggang, saya gemar mengikut ayat perang psikologi Muhammad Ali yang unik.
"Saya benci berlatih setiap minit. Tapi, saya mengatakan kepada diri: "Jangan berhenti. Sengsara sekarang dan hidup selepas itu sebagai juara.
"Terapung bagaikan rama-rama, menyengat umpama lebah".
"Tangannya tidak mampu menang jika matanya tidak dapat melihat (lawan)".
"Saya K.O (menumbangkan) yang terhebat, Mike (Tyson) anda selepas ini".
Hanya atlit hebat saja mampu bersikap yakin dan sedikit bongkak seperti ini. Kerana apa? Kerana mereka yakin untuk menumbangkan lawan mereka.
Mengapa mereka yakin? Kerana mereka berlatih bermati-matian hingga menyebabkan lawan mereka kecut-perut. Atlit Malaysia patut ada keyakinan seperti ini.
Saya tidak hidup di zaman kegemilangan Muhammad Ali, namun saya harap ada atlit negara yang memiliki semangat sepertinya. Hanya juara saja yang mampu berbuat demikian terutama menjelang Sukan Olimpik Rio 2016.
Kita perlu yakin untuk dapatkan pingat emas sulung itu. Sejak penampilan sulung Malaysia di Olimpik Melbourne 1956, kita perlu berani untuk "terapung bagai rama-rama, menyengat umpama lebah".
Dapatkan emas sulung itu demi rakyat Malaysia. Kesakitan hari ini, tapi selepas itu kita akan hidup sebagai juara...
Al-Fatihah Muhammad Ali (1942-2016).
Rencana