Skip to main content

Rencana

Tagih 'Aura juara' benam Korea Utara

harimau-malaysia-241017_1.jpg
Berakhir sudah saingan bola sepak tempatan dengan kemuncaknya pada perlawanan akhir Piala Malaysia Sabtu lalu, tumpuan kini terarah kepada skuad kebangsaan yang akan meneruskan perjuangan dalam kempen kelayakan Piala Asia 2019.

Skuad bimbingan Nelo Vingada akan menentang Korea Utara pada 10 dan 13 November di Buriram, Thailand setelah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan dua perlawanan itu diadakan di gelanggang berkecuali ekoran keadaan tidak menentu di Pyongyang.

Tiada lain, peminat bola sepak tanah air hanya mengharapkan kemenangan daripada skuad Harimau Malaya bagi mengembalikan semula maruah bola sepak negara yang tercalar susulan kejatuhan dalam ranking dunia FIFA.

Peluang untuk mencipta kemenangan untuk dua perlawanan itu tampak sukar, tetapi ia bukan misi mustahil buat anak buah Vingada meraih keputusan positif untuk menyalakan semula harapan ke pusingan akhir kejohanan ini.

Ketika ini, tampak ada sinar di hujung terowong buat skuad negara mencapai misi itu berlandaskan barisan pemain yang dianggap antara terbaik pernah direkrut Vingada sejak perlawanan pertamanya Jun lalu.

Meskipun, kehilangan tiga tonggak iaitu kapten Safiq Rahim, pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak dan pemain tengah Baddrol Bakhtiar, skuad negara masih tampak ampuh menerusi kelibat beberapa bintang baru yang dipanggil untuk misi hidup mati kali ini.

Antaranya, Afiq Fazail dari Johor Darul Takzim, Syafiq Ahmad dari Kedah, Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak, Nor Azam Azih dari Pahang dan Hadin Azman dari Felda United.

Safiq pula akan kembali perkuat pasukan untuk perlawanan kedua di Buriram itu selepas hanya digantung satu perlawanan berbanding Aidil membabitkan empat perlawanan.

Sudah pasti, kombinasi baru ini mampu memberi impak berbeza kepada Harimau Malaya untuk mengaum di bumi Thailand walaupun jurulatih dari Portugal itu barangkali berdepan sedikit kesulitan untuk manfaat kelebihan setiap pemain barunya kali ini.

Namun, apa yang lebih penting kelibat 10 pemain skuad Harimau Selatan yang masih segar dengan kejayaan bersejarah menjuarai Piala Malaysia 2017 selepas pasukan mereka menumpaskan Kedah 2-0 pada aksi final di Stadium Shah Alam tempoh hari.

Ada di kalangan mereka akan membuat penampilan sulung di pentas antarabangsa dan ada juga yang akan membuat kemunculan semula dengan semua daripada mereka memiliki kelebihan masing-masing untuk dipertaruhkan di atas padang nanti.

Namun, yang pasti 'aura juara' itu tampak mampu memacu skuad negara untuk melakar kemenangan sulung dalam kempen kelayakan ini sekaligus menghadiahkan kemenangan sulung buat individu bernama Vingada.

Advertisement

Must Watch Video