RENCANA
Tabik Hormat!
Terbaru, Mohammad Ridzuan Mohamad Puzi cipta sejarah raih emas acara 100m kategori T36 dengan catatan 12.08s di Kejohanan Olahraga Paralimpik Dunia di Doha, Qatar . Sebelum itu, Abdul Latif Romly menyumbang emas pertama negara dalam acara lompat jauh kategori T20. Ia juga merupakan penampilan sulungnya di kejohanan itu.
Lebih menggembirakan, Abdul Latif memecah rekod kejohanan yang sebelum ini dipegang Jose Antonio Exposito dari Sepanyol, iaitu 7.19M yang dilakukan pada 2011 di Christchurch, New Zealand. Catatan yang dilakukan Abdul Latif, 7.35M sudah cukup untuk emas dan juga tiket ke Sukan Paralimpik di Rio di Janeiro tahun depan.
Saya sendiri cukup bangga dengan apa yang dipamerkan atlit istimewa negara ini. Dikala atlit normal dilihat bergelut di pentas tertinggi dunia, atlit paralimpik negara terus membuka lembaran baru sukan negara.
Iklan
Bukan sahaja Abdul Latif meraih pingat di Doha, malah 2 pingat gangsa disumbangkan atlit lontar peluru kategori T20, Ziyad Zolkefli dan Mohamad Saifuddin Ishak dalam acara lompat jauh kategori T12.
Di Sukan Para Asia, Incheon, Korea Selatan tahun lalu, Azlan Mat Lazin turut melakar sejarah meraih 3 emas menerusi acara 100M, 200M dan 400M. Namun sayangnya itu aksi terakhir disajikan Azlan yang dapat kita ratapi setelah allahyarham meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya awal tahun ini.
Rindu dan memikirkan apa yang mampu dilakukan Azlan jika masih lagi hidup ketika ini. Sudah pasti dia beraksi di Doha dan mungkin mampu menjelmakan satu lagi keajaiban. Malah jurulatihnya, R. Jeganathan begitu menaruh harapan kepada allahyarham dan melaung dia prospek pingat di Sukan Paralimpik 2016.
Bagaimanapun, R. Jeganathan kini boleh menarik nafas lega sudah ada pengganti Azlan iaitu Mohammad Ridzuan. Ridzuan ketika itu meraih pingat perak di Sukan Para Asia 2014 di belakang Azlan. Kini Ridzuan sudah menggapai emas di kejohanan dunia dan Jeganathan sudah pasti akan memastikan Ridzuan mampu menjelmakan pingat di Brazil tahun depan.
Saya cukup kagum dengan motivasi mereka dalam mengejar impian bergelar juara. Nampak mudah tetapi realitinya tidak. Saya sendiri akui hendak bersenam pun kadangkala saya malas tetapi apa yang ditunjukkan insan istimewa negara ini menerusi latihan gigih setiap hari membuahkan hasil bagi mereka. Perkataan malas seharusnya dipadamkan daripada kamus seharian kita jika kita ingin lihat kejayaan. Memang hari-hari kita nak jadi kurus tapi kalau tidak bersenam, sampai bila pun sama sahaja!
Ingin saya katakan, pengorbanan dan perjuangan mereka tidak mengharapkan balasan setimpal atlit normal namun kesungguhan dan nekad dalam hati untuk melakukan terbaik buat negara cukup buat saya terharu dengan kejayaan demi kejayaan yang dilakar.
Diharap kejayaan mereka ini terus membuka mata ramai pihak untuk terus memberikan sokongan dan juga bantuan kepada mereka
Tabik hormat daripada saya buat atlit istimewa negara ini! Tahniah!
Must-Watch Video