Skip to main content

Bola Sepak

ACLE: Safiq Rahim nasihati peminat buang anasir negatif, beri sokongan kepada JDT

j

Bekas kapten Harimau Selatan, Safiq Rahim, percaya Johor Darul Ta'zim (JDT) akan terus mengaum dalam pusingan akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) meskipun laluan ke hadapan dipenuhi ranjau.

Dalam bicara bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Safiq menegaskan kekuatan JDT bukan sekadar nama sebaliknya struktur permainan menerusi jentera tengah yang semakin ampuh sambil kesemua 40 pemain dilabel mempunyai kualiti kesebelasan utama menjelang pertemuan dengan gergasi Arab Saudi selaku juara bertahan, Al-Ahli, di peringkat suku akhir di Jeddah malam esok.

Advertisement

"JDT tidak akan berhenti"

"JDT adalah salah satu kelab yang menghasilkan sejarah untuk pasukannya sendiri dan pemain.

"Saya percaya JDT akan buat yang terbaik dalam perlawanan akan datang dan saya mendoakan kejayaan mereka.

"Dengan mewakili negara, saya berharap peminat di Malaysia haruslah memberi sokongan kepada JDT supaya bola sepak di negara kita dipandang lebih jauh.

"Saya percaya bahagian tengah JDT lebih baik daripada sebelum ini. Kita tahu barisan 40 pemain ini adalah kesebelasan utama.

"Kalau diberikan peluang, mereka tidak akan mengecewakan JDT terutama Tunku Mahkota Johor (Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim)," katanya.

Cabaran besar kini menanti JDT berdepan Al-Ahli di peringkat suku akhir -- iaitu lawan yang baru sahaja menyingkirkan Al-Duhail 1-0 dalam aksi pusingan 16.

Nama besar seperti Riyad Mahrez jadi bukti kualiti dimiliki kelab Liga Pro Saudi itu, apabila jaringan tunggal bekas tonggak Manchester City tersebut memastikan kemenangan, sekali gus memberi isyarat awal betapa getirnya ujian yang akan ditempuh anak buah Xisco Munoz kelak.

Lebih menarik, ini adalah kali pertama JDT melangkah ke kelompok lapan terbaik Asia dan kali pertama juga mereka bakal menguji kekuatan kelab dari Timur Tengah di pentas tertinggi benua.

"Untuk bercakap bukan-bukan tentang dominasi JDT, saya rasa dominasi JDT adalah sebelum ini lagi.

"Mungkin ada pihak yang cakap 'saya bekas (pemain) JDT Saya pernah bermain untuk Johor Darul Ta'zim di JDT.' tetapi sejujurnya inilah impian setiap pemain. Mungkin pemain lain memikirkan sekadar untuk dapat bermain bola sepak.

"(Mengenai) anasir luar ini seperti sedia maklum, ini budaya di Malaysia. Walaupun tidak boleh buang, tolong kurangkan.

"Kita ada pasukan yang terbaik di negara, mengapa kita tidak ikut untuk kebaikan industri bola sepak dalam negara.

"Benda yang tidak membantu -- negatif -- tidak perlu ikut supaya kita dapat melahirkan sesuatu untuk bola sepak di dalam negara," katanya.

 

Topik Berkaitan

Must Watch Video