"Mereka kata kami seperti adik-beradik.
Bintang muay thai Thailand, Rodtang Jitmuangnon, berasa hairan dengan tindakan ONE Championship yang mahu menyaman dirinya susulan dakwaan pelanggaran kontrak.
Advertisement
Terdahulu, platform promosi seni bela diri global itu mengesahkan sedang melakukan proses perundangan di tiga negara iaitu Singapura, Jepun dan Thailand.
Dalam kenyataan rasmi, ONE menegaskan komitmen mereka terhadap ketelusan kepada peminat, atlet serta rakan strategik, sambil menjelaskan tindakan itu diambil selepas berlakunya beberapa pelanggaran perjanjian kontrak.
Katanya, tindakan undang-undang tersebut berpunca daripada kegagalan Rodtang memenuhi komitmen kontraknya, selain kebimbangan terhadap kenyataan atau maklumat yang berpotensi menimbulkan salah faham atau dianggap berunsur fitnah.
Bercakap mengenai maklum balas, juara dunia Muay Thai flyweight itu seperti tidak menyangka perkara itu sedang menghimpit dirinya ketika ini.
“Saya menandatangani kontrak itu pada tahun 2022. Saya meminta untuk melihat kontrak itu dan hanya menerimanya pada November 2025.
"Tambahan pula, saya tidak boleh membaca Bahasa Inggeris, dan sekarang mereka akan menyaman saya.
"Mengapa saya perlu melalui sesuatu seperti ini?
"Adakah keadilan benar-benar masih wujud?
"Dan mereka kata kami seperti adik-beradik,” katanya.
Rodtang dijadualkan melawan Takeru Segawa dalam perlawanan ulangan (pertembungan terakhir menyaksikan Rodtang menang pada tahun lalu) yang sangat dinanti-nantikan untuk merebut gelaran ONE Interim Flyweight Kickboxing pada 29 April 2026, di ONE Samurai 1 di Tokyo, Jepun.