Drama dan kontroversi di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur (KL) membayangi kemenangan 2-1 Malaysia ke atas musuh tradisi, Thailand, dalam acara sepak takraw regu berpasukan Piala Dunia ISTAF malam tadi.
Aksi regu ketiga negara -- di kala mata di kedudukan 14-13 dalam set kedua bertukar tegang pencetus episod kontroversi apabila pemain Thailand membantah keputusan pengadil dari Singapura, Radhi Che Mai sehingga menyebabkan perlawanan tertangguh lebih 15 minit sebelum keputusan dimuktamadkan.
Penolong pengurus skuad kebangsaan Thailand, Rattadech Noijaroen, meluahkan kekecewaannya mengenai insiden tersebut, namun tetap mengamalkan semangat kesukanan tinggi apabila tidak menyalahkan mana-mana pemain Malaysia tentang hal itu.
Tulisnya di Threads, bekas pemain Gajah Perang itu tetap menghormati keputusan meskipun menelan keperitan pada saat akhir, sebaliknya menyeru agar segera bangkit dan terus memandang perkara di hadapan.
"Kami menghormati peminat Malaysia dan setiap atlet Malaysia, kerana setiap pemain hanya mahukan peluang untuk melangkah ke gelanggang dan menunjukkan potensi penuh mereka.
"Apa yang berlaku hari ini bukanlah salah atlet.
"Walaupun beberapa saat sukar untuk diterima, kami tetap menghormati keputusan tersebut dan akan terus maju ke hadapan.
"Kerana pada akhirnya, kita semua hanya mahu melihat sepak takraw berkembang bersama," katanya.