Skip to main content

Rencana

Syafik, Shahrel pilihan terbaik?

syafiq-ahmad.jpg
Selepas dua aksi Kumpulan G, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 5 dan 10 September lalu, sudah pasti ramai peminat dan pemerhati mula melontarkan pandangan mengenai siapa pemain terbaik negara untuk mengepalai jentera serangan.

Umum mengetahui pengendali negara, Tan Cheng Hoe, menggunakan formasi 4-3-3 meskipun kadang kala percaturan taktikalnya berbeza kerana ia bergantung kepada siapa lawan Harimau Malaya.

Bagi penulis, Cheng Hoe sebenarnya sudah mempunyai ramuan untuk membentuk jentera serangan yang ampuh untuk saingan kelayakan kali ini.

Penyerang serba boleh Perak, Shahrel Fikri Md Fauzi, dan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad, adalah dua pemain yang paling sesuai mengepalai jentera serangan skuad kebangsaan.

Selaku pengendali negara, sudah pasti Cheng Hoe mempunyai sebab tersediri untuk tetap menaruh kepercayaan kepada penyerang veteran, Norshahrul Idlan Talaha, ketika aksi berdepan Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) tempoh hari.

Namun, bagi penulis, Shahrel dan Syafiq adalah calon terbaik kerana kedua-dua pemain itu memiliki corak permainan serba boleh (versatile) yang jelas penting dalam permainan bola sepak moden.

Sebelum aksi kelayakan lalu, Shahrel hanya kerap digunakan sebagai pemain gantian oleh pengendali Perak, Mehmet Durakovic, dalam saingan Liga Malaysia, yang mungkin menyukarkan Cheng Hoe memberikannya peranan sebagai pemain utama.

Apa pun, bekas pemain kelab Nakhonratchasima dalam Liga Satu Thailand itu membuktikan kemampuannya apabila meraih dua gol untuk membantu Perak menewaskan Pahang 3-1 dalam aksi Kumpulan C Piala Malaysia, 14 September lalu.

Diharapkan Durakovic akan memberikan Shahrel lebih minit permainan di suku akhir Piala Malaysia berdepan Selangor bagi membuka ruang buatnya untuk mendapat kepercayaan Cheng Hoe dalam aksi ketiga kelayakan Piala Dunia/Piala Asia berdepan Vietnam di Hanoi, 10 Oktober depan.

Bagi Syafiq pula, Cheng Hoe banyak menggunakannya sebagai pemain tengah menyerang dalam aksi berdepan Indonesia dan UAE sebelum ini, namun ia tiada masalah buat pemain kelahiran Pulau Pinang itu untuk beraksi sebagai penyerang kerana ia adalah posisinya ketika bersama Kedah sebelum ini.

Mungkin dalam aksi di Hanoi, Cheng Hoe boleh menimbang kemungkinan menggunakan Syafiq selaku penggempur utama manakala bahagian tengah menyaksikan Brendan Gan dan Nor Azam Azih bergandingan dengan seorang pemain tengah bertahan seperti Akram Mahinan atau Syamer Kutty Abba.
 
Shahrel pula boleh dimasukkan sebagai "impact sub" di babak kedua bagi menambah sengat di bahagian serangan dengan Syafiq boleh kembali mendukung tugas di bahagian tengah.

Apa pun, Cheng Hoe selaku pengendali kebangsaan sudah pasti lebih mengenali pemainnya dan penulis percaya untuk aksi persahabatan berdepan Sri Lanka pada 4 Oktober depan, dia mungkin akan menguji satu atau dua kombinasi dalam usaha mencanang kesebelasan terbaik berdepan Vietnam kelak.

Advertisement

Must Watch Video